Warisan serah ‘surat peletakan jawatan’ Adun Sebatik kepada Speaker DUN esok – Shafie Apdal
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) akan menghantar ‘surat peletakan jawatan’ Hassan A Gani Pangiran Amir kepada Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, esok bagi mengotakan ikrarnya untuk melepaskan jawatan sebagai Adun Sebatik jika melompat parti.
Surat berkenaan akan turut diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam sidang media yang diadakan pada Isnin di Kota Kinabalu.
“Kami akan serahkan kepada Yang di-Pertua DUN terlebih dahulu dan salinannya kepada SPR serta Yang di-Pertua Negeri Sabah… esok atau lusa,” katanya.
Rakaman video yang menyaksikan Hassan A Gani berikrar untuk setia kepada Warisan dan kesediaannya menandatangani surat berkenaan sebagai bukti keikhlasannya turut didedahkan kepada media.
Pada 25 Februari lalu, Hassan A Gani dikatakan mengingkari ikrar tersebut apabila mengumumkan meninggalkan Warisan dan menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Mohd Shafie berkata, Warisan tidak pernah memaksa mana-mana calon parti itu menandatangani surat tersebut sebaliknya mereka melakukannya atas kehendak sendiri untuk menjadi calon.
Tambahnya, surat tersebut ditandatangani di hadapan barisan peguam sebagai saksi.
“Bukan ada paksaan… tiada tekanan sebelum dia menjadi YB (wakil rakyat) dan semua YB kita minta lafazkan janji mereka selaku parti dan selaku pimpinan bahawa jangan khianati perjuangan ini.
“Mereka tandatangan idepan peguam kita, kita lantik peguam… mereka tandatangan ada saksi ada peguam.
“Mereka telah berjanji malahan berjanji atas nama Allah… mana ada paksaan…,” katanya.-Awani
[VIDEO] Sumpah Setia Saya Terhadap WARISAN Tidak Sah Kerana Terpaksa – Adun Sebatik
You must be logged in to post a comment.