[VIDEO] Sumpah Setia Saya Terhadap WARISAN Tidak Sah Kerana Terpaksa – Adun Sebatik
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir mengakui bahawa dia membuat sumpah setia tahun lalu dan berjanji untuk melepaskan jawatannya sekiranya dia meninggalkan Warisan.
Bagaimanapun, kini dia mendakwa ikrar itu dibuat di bawah paksaan dan oleh itu tidak sah
“Betul saya bersumpah tapi sumpah ini tidak sah kerana terpaksa.
“Sekiranya saya tidak bersumpah saya tidak akan dicalonkan.
“Saya sokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana rakyat di kawasan Sebatik,” katanya dalam kiriman di Facebook hari ini.
Khamis lalu, Hassan meninggalkan Warisan dan berjanji akan menyokong GRS. Dia juga mengatakan bahawa dia menyokong kepemimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Dia turut menuduh Warisan mengutamakan politik daripada kesejahteraan rakyat.
GRS adalah gabungan yang terdiri daripada Perikatan Nasional, BN, dan Parti Bersatu Sabah, mereka kini mendapat sokongan 48 daripada 79 Adun.
Sejak beralih sokongan, sebuah klip video diedarkan dalam talian yang memaparkan Hassan bersumpah bahawa jika dia terpilih sebagai wakil rakyat, dia akan setia dengan Warisan sekurang-kurangnya sehingga pembubaran DUN.
Dalam video itu juga, dia mengatakan bahawa dia akan meletakkan jawatannya dan bahkan menandatangani surat peletakan jawatannya terlebih dahulu untuk dikemukakan kelak sekiranya melanggar sumpah setia itu.
Tarikh tersebut bertepatan dengan tarikh ketika Warisan dan sekutunya mengumumkan calon pilihan mereka menjelang pilihan raya negeri Sabah pada 26 September.
“Sekiranya saya memilih untuk menyertai parti politik yang lain atau pun mengisytiharkan kesetiaan saya kepada parti politik lain atau pun mengisytiharkan diri saya sebagai bebas, sebelum atau selepas persumpahan masuk sebagai Adun Sabah sehingga pembubaran DUN Sabah, atau saya dipecat, atau diberhentikan sebagai ahli Warisan Sabah, saya akan meletak jawatan saya sebagai Adun Sabah.
“Dan untuk menunjukkan keikhlasan saya, saya dengan ini menandatangani surat peletakan jawatan saya yang akan dikemukakan kepada Speaker DUN Sabah dan Tuan Yang Terutama Dipertua Negeri Sabah, jika saya pecah ikrar kesetiaan saya ini.
“Saya membuat ikrar ini pada 10 hari bulan September 2020,” katanya pada video itu.
You must be logged in to post a comment.