[VIDEO] Biri-Biri Liar Paling ‘Gebu’ Akhirnya Paling Rasa ‘Lega’

SEEKOR biri-biri liar yang dalam kesakitan kerana menanggung beban 35 kilogram bulu pada badannya ditemui oleh orang awam di sebuah kawasan hutan di Australia.

Reuters melaporkan, biri-biri yang diberi nama Baarack itu memiliki bulu yang secara perbandingannya adalah kira-kira separuh berat seekor kanggaru dewasa. Ia pastinya suatu lebihan yang amat menyulitkan pergerakan kambing biri-biri itu.

Individu yang menemui Baarack itu segera menghubungi pengusaha ladang ternakan Edgar’s Mission Farm Sanctuary berdekatan Lancefield, Victoria, yang terletak kira-kira 60 kilometer di utara Melbourne.

“Baarack dilihat seperti seekor biri-biri yang pernah memiliki tuan. Setelah diperiksa, ia memiliki tanda pada telinganya, namun tag itu sudah tercabut gara-gara lapisan bulu tebal yang turut memenuhi bahagian mukanya.

“Biri-biri perlu dicukur bulunya sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Jika tidak, bulunya itu akan tumbuh dan terus tumbuh, seperti yang berlaku pada Baarack,” ujar pengusaha santuari ladang itu, Kyle Behrend.

Secara keseluruhan semua bulu yang dicukur itu adalah seberat 35.4 kilogram.

“Sementara kukunya dalam keadaan baik meskipun sering bergerak di permukaan berbatu di dalam hutan, ia tetap dalam keadaan sukar. Baarack kurus dan kekurangan nutrisi, semua kerana berat bulu yang ditanggungnya,” tambah Behrand.

Baarack kini dicampurkan bersama haiwan ternakan lain di ladang Edgar’s Mission.

Kata Behrand: “Ini semua menunjukkan betapa biri-biri merupakan sejenis haiwan yang kuat dan gigih dan kita perlu terus menyayangi haiwan ini.”-Awani

Sumber: The Guardian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker