Keputusan Mahkamah Persekutuan cetus lebih banyak kekeliruan – Tok Mat Hasan

PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang syariah yang menjadikan seks luar tabii satu kesalahan akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, keputusan yang dibuat oleh panel sembilan hakim itu antara lain mengundang persoalan mengenai implikasinya ke atas keharmonian antara Mahkamah Syariah dan Sivil.

“Keputusan ini akan membangkitkan lebih banyak kekeliruan berhubung definisi undang-undang jenayah dan undang-undang jenayah syariah.

“Apakah perkara-perkara yang termasuk dalam Klausa Pengecualian, dan pelbagai implikasi yang melibatkan keharmonian Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil serta kedudukan enakmen negeri dan perlembagaan persekutuan,” soalnya dalam kenyataan.

Mohamad berkata, beberapa persoalan besar perlu diperhalusi kerana semuanya akan sangat mempengaruhi dan menentukan nasib serta kedudukan undang-undang jenayah syariah selepas ini.

Beliau yang mempersoalkan konteks kesalahan jenayah Syariah yang boleh digubal di bawah bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN), berkata, walaupun terdapat definisi ringkas dalam penghakiman itu, ia masih membuka banyak ruang interpretasi yang besar dan pelbagai.

Kes luar tabii: Kerajaan Persekutuan tidak boleh lepas tangan

“Konteks kesalahan dan jenayah Islam tidak hanya tertakluk kepada tiga cakupan sahaja dan kebanyakannya saling berkait dan rentas kategori,” katanya.

Mengulas mengenai bidang kuasa DUN yang dikatakan tidak boleh menggubal enakmen atau membuat peruntukan untuk menghukum perkara tersebut, beliau mempersoalkan sama ada kesalahan jenayah syariah itu boleh terus dilakukan secara bebas.

“Adakah ini bermakna semua peruntukan enakmen syariah di semua negeri perlu disemak untuk memastikan kesalahan jenayah yang diperuntukkan adalah harmoni dan tidak berada dalam cakupan atau bidang kuasa Parlimen?,” soalnya.

Terdahulu, ketika menyampaikan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, pengerusi panel hakim, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen, bukannya badan perundangan negeri Selangor.

Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum, adalah bercanggah dengan perlembagaan persekutuan, kata beliau.

Ini susulan permohonan seorang lelaki berusia 35 tahun, yang identitinya dirahsiakan atas permintaan peguam, untuk deklarasi bahawa Seksyen 28 enakmen itu adalah tidak menepati perlembagaan.

Beliau didakwa bawah seksyen itu di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor atas tuduhan cuba melakukan seks luar tabii dengan lelaki lain pada 2018.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker