Duta besar AS baru boleh berbahasa Malaysia

 

Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia yang baru, Brian McFeeters tiba di Kuala Lumpur petang semalam.

Menariknya, diplomat AS itu menguasai enam bahasa termasuk bahasa Inggeris.

“Beliau boleh bercakap dalam bahasa Malaysia, Indonesia, Perancis, Sepanyol, dan Jerman,” kata siaran media Kedutaan AS di ibu negara.

McFeeters kembali semula ke Malaysia, tempat dirinya pernah bertugas di Kedutaan AS di Kuala Lumpur sebagai penasihat politik dari 2009 ke 2011.

“Sangat gembira dapat kembali ke Malaysia. Sepanjang masa saya di sini sepuluh tahun yang lalu, saya bertuah dapat bertemu dan bekerja dengan ramai rakyat Malaysia yang berbakat dan berdedikasi.

“Saya tidak sabar untuk kembali bekerja dengan pasukan Kedutaan AS yang kukuh, yang merangkumi wakil dari seluruh kerajaan AS.

“Matlamat keseluruhan kami ialah hubungan yang lebih erat dengan rakyat dan kerajaan Malaysia,“ katanya sejurus ketibaan.

Katanya, Presiden AS Joseph Biden menekankan Amerika Syarikat perlu bekerjasama dengan rakan, sekutu dan rakan kongsi di seluruh dunia.

“Untuk memerangi pelbagai cabaran global yang kita hadapi daripada kesihatan awam kepada pemulihan ekonomi kepada pemerdagangan orang dan perubahan iklim.

 

“Kita menjadi lebih kuat apabila kita bekerja bersama. Saya berharap dapat memimpin pasukan yang bekerjasama dengan Malaysia dalam banyak bidang, termasuk dengan memupuk kerjasama keselamatan bermanfaat kepada kedua belah pihak; mengukuhkan lagi hubungan ekonomi yang menyokong puluhan ribu pekerjaan di Malaysia dan Amerika Syarikat; dan membina lebih banyak hubungan antara rakyat, termasuk melalui program pertukaran untuk orang muda.

“Saya tahu bahawa kita mempunyai banyak kerja untuk menewaskan Covid-19, tetapi kita menuju ke jalan itu bersama-sama.

“Saya gembira kerana vaksin Pfizer berjaya tiba di Malaysia dan pelancaran vaksin telah bermula,” kata duta besar itu.

Duta Besar akan mula mengadakan pertemuan secara maya dengan kakitangan Kedutaan AS dan rakan sejawatnya sementara menjalani kuarantin wajibnya. McFeeters ditemani oleh isterinya Melanie dan anak perempuan mereka, Sara.

McFeeters pernah berkhidmat sebagai timbalan ketua misi Kedutaan AS, Baghdad, Iraq, dan timbalan penolong setiausaha utama di Biro Jabatan Negara Hal Ehwal Ekonomi dan Perniagaan di Washington.

McFeeters telah menghabiskan separuh daripada kerjayanya selama 30 tahun dalam Perkhidmatan Luar Negeri di Asia Tenggara, termasuk sebagai timbalan ketua misi Kedutaan AS di Indonesia dan timbalan pengarah di Pejabat Maritim Asia Tenggara Jabatan Negara AS.

McFeeters sebelum ini berkhidmat di Angkatan Tentera Udara AS, dengan mendapat pangkat kapten dan mendapat pendidikan BA dan BS dari University of Notre Dame, MS dari University of New Mexico, dan MA dari Johns Hopkins School of Advanced International Studies.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker