Manila ‘tawar’ jururawat untuk vaksin
Manila: Kerajaan Filipina membenarkan ribuan pekerja kesihatannya yang kebanyakannya terdiri daripada jururawat untuk bekerja di United Kingdom (UK) dan Jerman.
Ia sebagai ‘balasan’ sekiranya negara itu menerima sumbangan vaksin daripada kedua-dua negara Eropah berkenaan.
Bagaimanapun, pegawai kanan di Kementerian Kesihatan UK dilaporkan berkata, negara itu tidak berminat dengan cadangan berkenaan.
Menurutnya, ini kerana keutamaan ketika ini adalah kepada program pemvaksinan untuk penduduknya.
Bagaimanapun, ia bersetuju berkongsi lebihan vaksin kepada negara luar pada masa akan datang.
Filipina yang menjadi antara negara Asia dengan kes positif Covid-19 tertinggi, melonggarkan larangan menempatkan pekerja kesihatannya dengan sebahagian besarnya jururawat untuk bekerja ke luar negara.
Bagaimanapun, ia menetapkan jumlah maksimum petugas kesihatan yang berbuat demikian kepada 5,000 orang setiap tahun.
Pengarah Biro Hal Ehwal Antarabangsa Kementerian Tenaga Kerja Filipina, Alice Visperas berkata, negara itu terbuka menjadikan cadangan itu sebagai tukaran vaksin daripada UK dan Jerman.
Ia digunakan untuk menyuntik tenaga kerja Filipina yang mahu ke luar negara dan pekerjanya yang pulang ke tanah air.
Jururawat antara jutaan rakyat Filipina yang bekerja di luar negara dan mereka mengirim wang ke negara asal lebih AS$30 bilion (kira-kira RM121 bilion) setahun.
“Kami mempertimbangkan permintaan, bergantung kepada persetujuan,” katanya seperti dilaporkan Channel News Asia.
Setakat ini, UK menjadi negara kelima dengan kadar kematian paling tinggi akibat Covid-19 manakala Jerman negara ke-10 dengan jumlah kes paling tinggi.
Secara keseluruhan, UK dan Jerman menjalankan pemvaksinan kepada 23 juta orang.
Filipina belum melaksanakan program imunisasi Covid-19 yang dijangka membabitkan 70 juta individu dewasa atau dua pertiga daripada populasinya yang berjumlah 108 juta.
Negara itu dijangka menerima vaksin pertama minggu ini yang disumbangkan China.-HM