Musim PKP: Pengeluar kondom, Karex catat untung luar biasa

 

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Karex Bhd meningkat 27 kali ganda kepada RM2.79 juta pada suku kedua berakhir 31 Disember 2020, berbanding hanya RM102,000 setahun sebelumnya.

Prestasi memberangsangkan pada suku dikaji itu disumbangkan jualan kukuh kondom dan pelincir.



Pendapatan meningkat 6.1 peratus untuk mencecah rekod tertinggi RM115.75 juta, berbanding RM109.9 juta sebelumnya, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

“Di sebalik gangguan disebabkan pandemik COVID-19, jumlah jualan kondom ke pasaran tender dan komersial terus berkembang,” katanya.

Bagi tempoh terkumpul enam bulan berakhir 31 Disember 2020, Karex melaporkan keuntungan bersih RM7.24 juta, berbanding kerugian bersih RM65,000 dalam tempoh sama tahun sebelumnya berikutan jualan lebih memberangsangkan.

Pendapatannya dalam tempoh itu meningkat 6.18 peratus kepada RM217.48 juta daripada RM204.82 juta, berikutan jualan kondom lebih tinggi dalam pasaran komersial, terutama di rantau Asia dan Amerika.



Berhubung prospek, kumpulan kekal yakin bahawa ia dalam landasan untuk mengatasi cabaran operasi, yang berpunca daripada pandemik COVID-19, bagi memanfaatkan potensi peluang daripada penekanan baharu global terhadap kebersihan serta pencegahan penyakit.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker