Janna masih kekal pengacara Melodi
Susulan kontroversi ‘Lisa Blackpig’ yang menggelegakkan namanya sehingga sohor dalam Twitter, terkini status seta kredibiliti pelakon Janna Nick sebagai pengacara Melodi turut dipersoalkan netizen.
Menjawab kemusykilan khalayak yang membangkitkan persoalan sedemikian, Penerbit Eksekutif Melodi, Jamil Hassan berkata, buat masa ini tiada perbincangan dibuat berhubung isu berkenaan, sekali gus mengekalkan Janna terus bersiaran pada Ahad ini.
“Buat masa ini tiada perbincangan lanjut mengenai perkara tersebut. Isu ini lebih kepada kisah peribadi Janna.
“Lebih baik sebarang pertanyaan diajukan kepada Janna sendiri. Maaf. Saya tidak boleh memberikan komen lebih lanjut mengenai perkara ini,” kata Jamil kepada Kosmo! Online.
Selain Nurul Jannah Muner atau lebih mesra dengan nama Janna Nick, program hiburan yang bersiaran setiap Ahad turut menampilkan Awal Ashaari sebagai pengacara bersama.
Pelakon yang mempunyai 6.2 juta pengikut di Instagram itu didakwa mempersendakan bintang K-pop, Lalisa Manoban atau Lisa daripada kumpulan tersohor Blackpink apabila menamakan seorang watak telefilem pertama arahannya, Delen sebagai ‘Lisa Blackpig’.
Keadaan bertambah tegang apabila video lama mengaitkan pelakon Melastik Ke Hatimu itu dengan kematian anggota kumpulan Shinee, Kim Jong-hyun, meninggal dunia pada 2017 kembali dikongsi peminat.
Janna memilih untuk membuat laporan polis apabila atas nasihat peguamnya apabila berdepan ugutan jenayah dan serangan peribadi termasuk membabitkan syarikat produksi miliknya, Janna Nick Studios. – K! ONLINE
Janna Nick Terlebih “BELANJA” Dengan Pakaian Cheongsam..Kena Tegur Dengan Netizen Jaga Aurat