Ebit Lew mahu buka ‘Restoran Free’, rumah gelandangan di ibu negara

Pendakwah dan dermawan terkenal, Ebit Lew sedang merancang untuk meluaskan lagi kerja-kerja kemanusiaan dan kebajikan dengan membuka sebuah restoran yang menawarkan juadah percuma kepada pengunjungnya.

 

Dengan menyasarkan lokasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Ebit memberi bayangan ‘Restoran Free’ itu akan menyediakan makanan kepada yang benar-benar memerlukan dan kelaparan.

 

Tidak hanya membuka ‘Restoran Free’, bahkan, beliau juga mempunyai hasrat untuk membuka tempat penginapan baharu untuk golongan gelandangan di ibu negara selain menyediakan tapak berniaga untuk penjaja dan membantu mereka dari segi dana dan lain-lain

 

Rancangan-rancangan itu dikongsi Ebit menerusi pertemuannya dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pada Isnin.

Menurut Ebit, beliau berterima kasih kepada Annuar kerana tidak pernah terlepas pandang terhadap golongan yang memerlukan.

“Pohon doakan. Banyak perkara dibincangkan bersama Tan Sri Annuar Musa demi orang miskin dan orang yang memerlukan.

“Sedih sayu tadi berbual tentang orang susah. Ramai yang sudah dibantu tapi ramai lagi yang masih memerlukan. Kami berbincang mengenai masalah kemiskinan dan kesusahan masyarakat kita,” kata Ebit dalam hantaran di akaun media sosialnya.

Dalam pertemuan itu, Ebit turut berkongsi yang Annuar ada bertanya padanya tidak penatkah menjejalah ke sana sini dengan menggunakan kudrat dan dana yang banyak semata-mata untuk membantu golongan memerlukan.

“Jawab saya Tan Sri lagi penat. Saya cuma sedikit berbanding usaha kerajaan dan badan yang lain. Senyuman pada wajah orang miskin dan doa mereka sangat besar nilainya,” tulis Ebit lagi.

Bagi Ebit, kerjasama beliau dengan Kementerian Wilayah Persekutuan adalah semata-mata untuk membantu masyarakat.

“Terima kasih Tan Sri. Semoga Allah beri kebaikan dan kekuatan terus membantu masyarakat. Semoga menjadi asbab kebaikan,” ujar Ebit.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker