Awas pihak jadikan media sebagai senjata serang Islam – Hadi
KUALA LUMPUR : Platform media ketika ini disalah guna sesetengah pihak sebagai medium untuk dijadikan senjata halus bagi menyerang agama Islam, menurut Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Tegas beliau, terdapat pihak tertentu yang bertindak melakukan serangan siber terhadap ajaran Islam yang bertujuan menyebarkan fitnah.
“Terdapat satu pendekatan terkini terhadap Islam, iaitu mencari kesalahan orang Islam, sama ada mereka yang tidak bersalah tetapi disebarkan fitnah atau mereka yang benar-benar bersalah dengan nyata.
“Namun kesalahannya dijadikan senjata untuk menikam ajaran Islam malah ia juga tertumpu kepada golongan agamawan.
“Berita itu diletakkan pada muka hadapan media tajaannya dan diulang-ulang untuk disebar luaskan dengan matlamat untuk menghina Islam,” katanya menerusi hantarannya di Facebook pada Ahad.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berpendapat, tindakan itu sengaja dibuat bagi melahirkan perspektif negatif terhadap agama Islam, sekali gus menggalakkan lagi Islamofobia.
“Terdapat media yang telah berperanan mencetuskan provokasi terhadap kumpulan Islam yang melampau dan kurang bijak.
“Tujuan itu bagi mempromosikan Islam secara negatif dan ini merupakan senjata Barat bagi menentang Islam pada hari ini,” katanya lagi.
Tambahnya, zaman era teknologi ini menyaksikan berlakunya serangan siber yang semakin canggih sehingga merentasi tanpa sempadan yang hanya menimbulkan kekeliruan sesetengah pihak dan lebih buruk apabila ia menyasarkan pihak yang kurang berkemahiran untuk berfikir.
You must be logged in to post a comment.