Gerakan ‘bodoh’ dan ‘gopoh’ tuntut kerusi dari PAS

Kalah teruk pada PRU14, pencapaian MCA lebih baik berbanding Gerakan

 

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) disaran supaya tidak bersikap gopoh dalam membuat sebarang tuntutan kerusi di antara komponen lain di dalam Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana, kedudukannya yang masih baharu sebagai rakan komponen mungkin memberi kesan bukan hanya dari segi hubungan, bahkan juga peluang PN memenangi sesuatu kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Atas sebab itu, penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff menasihatkan, Gerakan supaya menilai dahulu kekuatan serta kekurangan partinya sebelum membuat sebarang tuntutan, khususnya di kawasan yang bukan kebiasaan bagi mereka meletakkan calon.

“Jika melihat pengalaman Gerakan di dalam Barisan Nasional (BN), Gerakan mengalami kekalahan yang teruk pada PRU14.

“Jadi, Gerakan sepatutnya memikirkan tentang apa kekuatan dan kekurangan mereka setelah masuk di dalam PN,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, penyertaan Gerakan di dalam PN belum boleh menjamin parti itu akan mampu menawan mana-mana kerusi, jika hanya bersandarkan daripada kekuatan rakan komponen lain – iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS – dalam gabungan itu.

Sebelum ini, Gerakan Kelantan menuntut PAS menyerahkan DUN Kota Lama kepada parti itu untuk ditandingi dalam PRU15.

Tuntutan itu dibuat Pembantu Setiausaha Gerakan Kelantan, Gan Thuan Bun baru-baru ini, selepas mendakwa PAS sudah lama mempertahankan kerusi itu sedangkan majoriti pengundi DUN Kota Lama adalah masyarakat Cina.

Mengulas perkara itu, Dr Syed Agil berkata, Gerakan tidak hanya boleh melihat dari sudut komposisi pengundi semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira juga

sentimen mereka.

“Sentimen pengundi paling penting. Mereka perlu lihat sentimen dan sensitiviti pengundi di kawasan itu, sehingga mereka masih memilih PAS mewakili mereka.

“Namun, ia berbalik kepada parti untuk meletakkan calon. Adakah parti-parti PN menyokong khususnya PAS jika Gerakan nak tanding di situ,” katanya.

Beliau berkata, jika PAS tidak menyokong Gerakan meletakkan calon di kawasan itu, maka parti berkenaan tidak boleh memaksa PAS melepaskan kerusi itu kepada mereka.

“Jika nak letak calon, Gerakan perlu muhasabah dan melihat adakah pengundi boleh terima atau tidak.

“Pencapaian Gerakan dengan MCA pun, MCA lebih baik pada PRU14 lalu. Jadi, saya tak fikir dengan kemasukan Gerakan di dalam PN boleh minta macam-macam.

“Mereka perlu menilai mengenai parti dan sentimen pengundi. Kita tak mahu mereka letak calon tetapi kalah dan akhirnya mereka tidak diterima,” katanya.

Leave a Reply