BN bergerak ‘solo’ pada pilihan raya umum akan datang?

 

PETALING JAYA: Satu mesyuarat pucuk pimpinan Umno memutuskan untuk berpisah daripada PPBM dan gabungan Perikatan Nasional pada pilihan raya umum akan datang, kata sumber Umno.

Keputusan itu mungkin mengakibatkan gabungan Barisan Nasional bertanding pilihan raya atas tiket sendiri seperti pada pilihan raya terdahulu.

Sumber dalam parti itu berkata, Umno menolak jawatan timbalan perdana menteri yang ditawarkan tahun lalu ketika ia meminta PPBM menjadikannya rakan saksama dalam PN. “Jawapan kepada ini memang ‘tidak’,” katanya.

Bagaimanapun, pertalian parti itu dengan PAS belum pasti, kata ahli Umno itu selepas pertemuan pucuk pimpinan di Janda Baik, Pahang lewat Sabtu.

Umno dan PAS adalah rakan bersama dalam Muafakat Nasional, manakala PAS serta PPBM dalam gabungan Perikatan Nasional yang mentadbir kerajaan persekutuan, dengan sokongan parlimen oleh Umno dan rakan BN.

Sumber itu berkata, Umno memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional, manakala hubungan pilihan raya Umno dengan PAS akan bergantung kepada rundingan kerusi.

“Jika PAS tetap tidak mengalah mengenai pembahagian kerusi, Umno mungkin tidak akan mahu bekerjasama dengan parti itu dalam Muafakat Nasional,” katanya. “Ramai yang mendesak BN bergerak ‘solo’ jika PAS tetap dengan pendirian itu,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, tiada keputusan dibuat berhubung Muafakat Nasional.

Sumber Umno itu berkata, “banyak masalah sedang bergolak di Terengganu” yang mungkin disusuli Johor serta Selangor jika Umno tidak dapat mencapai persetujuan dengan PAS mengenai pengagihan kerusi.

Katanya, Umno menjangka pilihan raya diadakan sebaik darurat tamat pada 1 Ogos.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker