Vaksin Covid-19 percuma, pendaftaran kini dibuka
Kuching: Pendaftaran untuk mendapatkan vaksin Covid-19 secara percuma kini dibuka bagi penduduk Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pendaftaran itu boleh dibuat menerusi aplikasi My Sejahtera di telefon bimbit masing-masing.
Selain itu katanya, orang ramai juga boleh menghubungi hospital, klinik dan pejabat daerah terdekat berhubung pendaftaran itu.
“Kami menerima pendaftaran untuk mendapatkan vaksin percuma itu sekarang,” katanya selepas mengunjungi pusat operasi Covid-19 di Kampung Sungai Maong di Kuching dan di Taman Univista di Kota Samarahan, hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, orang ramai harus berwaspada bagi mengelak menjadi mangsa penipuan individu yang kononnya cuba membantu membuat pendaftaran itu.
“Jangan terpedaya dengan sesiapa yang mendakwa mereka boleh membantu atau menghantar borang pendaftaran vaksin percuma itu kepada anda.
“Orang ramai juga tidak harus memberikan kad pengenalan kepada mereka yang cuba membantu itu kerana dikhuatiri berlaku penyalahgunaan,” katanya.
Katanya, bagi penduduk luar bandar yang inginkan penjelasan lanjut, boleh berjumpa dengan ketua masyarakat di tempat masing-masing.
“Program vaksinasi sangat penting dalam usaha melindungi diri kita serta menghentikan penyebaran jangkitan,” katanya.