Masih Sayang UMNO Tapi Pernah Suruh Bubar… Mahathir Hilang Hala Tuju Politik – Zahid

Pengerusi Barisan Nasional, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ini diibarat seperti hilang hala tuju dalam berpolitik.

Menurut beliau, ini kerana ahli Parlimen Langkawi itu memberikan kenyataan bahawa dirinya masih sayang kepada UMNO sedangkan sebelum ini Tun Dr Mahathir sendiri telah menyuruh membubarkan UMNO kerana UMNO dianggap sudah tiada.

“Tiba-tiba kelmarin Tun Mahathir buat ‘u-turn‘ paling drastik menyatakan beliau bersedia kembali kepada UMNO.

“Kononnya dengan syarat UMNO perlu kembali berjuang untuk bangsa, negara dan agama. Bagaimana agaknya perasaan penyokong dan pemimpin parti Pejuang?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Kata Zahid yang juga Presiden UMNO, luahan tersebut dinyatakan mungkin disebabkan dirinya kecewa apabila hasrat untuk menjadi perdana menteri buat kali ke-3 tidak menjadi kenyataan.

“Saya fikir rakyat khususnya ahli UMNO boleh menjangkakan punca sebenar mantan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ini membuat pusingan-U setajam itu.

“Ramai lihat beliau kini hilang hala tuju dalam memperjuangkan kepentingan politik peribadi dan kroni-kroninya selepas tidak lagi menjadi perdana menteri ke-7.

“Presiden PPBM telah memecatnya. PH tidak lagi mempedulikannya. Kerajaan Perikatan Nasional tidak luluskan pendaftaran parti baharunya,” ujarnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menyifatkan bahawa Dr Mahathir ketika ini dilihat mencari ‘perumah’ lain atau setidak-tidaknya kembali kepada ‘perumah lama’ untuk terus mendapatkan manfaat ‘nutrisi’.

Bagaimanapun ujarnya, rakyat kini sudah boleh mengetahui bahawa syarat yang ditetapkan oleh Dr Mahathir itu sekadar alasan.

“UMNO tidak pernah seinci berkalih daripada dasar perjuangannya. Ia cuma argumentasi atau dalih untuk menjustifikasikan kehendak kembali kepada parti keramat ini.

“Atau juga ia strategi sama beliau pada Pilihan Raya Umum-14 untuk memainkan sentimen rasa hormat ahli UMNO bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional,” tegasnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut berkongsi berkenaan kenyataan-kenyataan Dr Mahathir sebelum ini berkenaan UMNO:

“BN (Barisan Nasional) dah tak ada, dah ‘Innalillahi wainna ilaihi raajiun. Yang ada hanyalah UMNO itupun sekadar pada nama sahaja.

“UMNO dah hancur, banyak ahli minta nak masuk PH dan BERSATU (PPBM). Yang tinggal nak jalan pun tak larat dah, “[Tun Mahathir 31 Februari 2019]

“Saya sanggup terima ahli UMNO yang keluar UMNO. Tetapi UMNO sertai kerajaan campuran sebagai parti UMNO, ini tidak dapat diterima,” [Tun Mahathir 26 Februari 2020]

UMNO Online

Kembali pada UMNO: Syarat Tun Mahathir hanyalah sekadar alasan – Ahmad Zahid

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker