Dipanggil Lembaga Disiplin UMNO, Tun Faisal beri jawapan balas

 

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz akan mengemukakan surat jawapan balas kepada Lembaga Disiplin UMNO berhubung kenyataan terbukanya sebelum ini yang dilihat menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, dia masih kekal berpegang kepada prinsip dan istiqamah dalam mempertahankan dasar parti.

“Saya akan tulis surat jawapan dan akan berhadapan dengan Lembaga Disiplin UMNO seperti diarahkan. Insya-Allah, saya tetap akan berpegang kepada prinsip dan istiqamah dengan perjuangan.

“Jika ini jalan yang perlu dilalui oleh mereka yang berani bersuara mempertahankan dasar parti, saya akan lalui jalan ini,” katanya kenyataan hari ini.

Media semalam melaporkan, Tun Faisal yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa diminta mengemukakan surat tunjuk sebab dan diarah hadir ke Tribunal Lembaga Disiplin UMNO susulan tindakannya membuat kenyataan terbuka menentang Ahmad Zahid.

Beliau juga perlu menjawab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya.

Sebelum ini, Tun Faisal membuat kenyataan Ahmad Zahid sudah hilang kredibiliti dan mengkhianati parti selepas percubaan untuk membawa UMNO menyokong ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal beberapa kali.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Anwar dan DAP, selain terus mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Tun Faisal berkata, beliau juga diarah menghadiri tribunal itu pada 25 Februari ini, yang dimaklum menerusi panggilan telefon dan WhatsApp oleh Sekretariat Lembaga Disiplin UMNO, semalam.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker