70% ruang kubur penuh

Kuala Lumpur: Kurang 15 tahun lagi untuk penuh. Itu situasi lot tanah kubur di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur apabila unjuran menunjukkan, ruang kosong di kawasan kepadatan tinggi wilayah berkenaan mampu untuk bertahan untuk lebih sedekad lagi.

Berdasarkan maklumat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), 29 Tanah Perkuburan Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencapai 70 peratus ruang sudah digunakan.

Carian lokasi tanah perkuburan menerusi ePusara kendalian Jawi menunjukkan terdapat kira-kira 71.7 hektar tanah perkuburan Islam secara keseluruhan.

Ia membabitkan enam zon tanah perkuburan Islam membabitkan pengurusan kariah masjid masing-masing serta Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah yang diselia oleh Jawi sendiri.

Berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar kematian di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan peningkatan pada 2016 iaitu 4.5 untuk setiap 1,000 penduduk berbanding 2015 iaitu 4.3.

Rekod terkini juga menunjukkan peningkatan kadar kematian secara keseluruhan iaitu 173,746 untuk dua tahun lalu berbanding 172,031 pada 2018 bagi perangkaan kematian seluruh negara.

 

MOHD Ajib
MOHD Ajib

 

Pada masa sama, Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, dianggarkan Tanah Perkuburan Islam Wilayah Persekutuan (TPIWP) hanya boleh menampung pengebumian jenazah umat Islam warga Kuala Lumpur kurang 15 tahun lagi.

Beliau berkata, terdapat enam Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) di bawah kendalian jabatan berkenaan.

“Kita mempunyai enam tanah perkuburan dan unjuran yang dilakukan menunjukkan TPIRS mampu untuk menampung 10 hingga 15 tahun lagi dan ia satu tempoh yang cukup lama.

“Selain itu, kita juga mempunyai tanah wakaf yang belum dibangunkan untuk tujuan tanah perkuburan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) adalah pemegang amanahnya,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Ajib berkata, pecahan jumlah tanah perkuburan Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah 51 buah iaitu 29 di Kuala Lumpur, termasuk tiga diurus tadbir oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kita juga mempunyai satu tanah perkuburan di Putrajaya dan 21 di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Tanah Perkuburan Islam (TPI) di Kuala Lumpur yang dikawal selia oleh Jawi dibahagikan kepada dua kategori iaitu TPI yang ditadbir urus oleh jawatankuasa kariah, masing-masing berjumlah 19 keseluruhannya.

“Selain itu, TPI yang diuruskan sepenuhnya oleh Jawi yang kita namakan sebagai TPI Raudhatul Sakinah berjumlah tujuh di seluruh seliaan jabatan kami,” katanya.

Label lot kubur jimat ruang

Perancangan untuk pemetaan serta melabelkan setiap lot kubur adalah langkah terbaik bagi mengoptimumkan penggunaan di Tanah Perkuburan Islam (TPI), sekali gus menjimatkan ruang.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, ia langkah terbaik memandangkan ruang tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) semakin terhad.

Beliau berkata, wujud juga keperluan kepada pembangunan projek perumahan untuk menyediakan suatu lot tanah kubur yang boleh dikongsi untuk beberapa taman perumahan di sekelilingnya.

“Kita sering melakukan perancangan untuk orang yang hidup sampai ada ketikanya kita lupa berkaitan ruang lot tanah kubur, saya fikir perlu juga taman-taman perumahan disediakan lot tanah kubur yang dikongsi.

“Selain itu, cara lain untuk mengatasi adalah melaksanakan kubur bertingkat seperti yang diwartakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 7 Oktober 2004.

“Antara maklumat fatwa ini menyatakan bahawa tanah perkuburan yang sudah penuh dan tiada kawasan lapang sebagai menambah keluasan tanah perkuburan, maka disarankan untuk menggunakan semula tanah perkuburan lama.

“Cara atau kaedahnya adalah menimbun tanah di atas kubur lama di kawasan tanah perkuburan setinggi empat kaki dan kaedah ini amat sesuai di tanah perkuburan rendah,” katanya.

 

DR Luqman
DR Luqman

 

Luqman berkata, beberapa negara sudah melaksanakan pembinaan kubur bertingkat ini seperti Mesir dan Singapura.

“Pendapat itu juga disokong oleh Dekan Kuliyyah Syariah Universiti Al-Azhar, Sheikh Prof Dr Hamid Abu Talib yang menyatakan bahawa dalam keadaan darurat, kepadatan penduduk serta tanah yang terhad, pembinaan kubur bertingkat adalah harus.

“Perkara sama juga sudah dibincangkan di peringkat Muzakarah Fatwa Kebangsaan (MFK) dan diharuskan serta tidak bertentangan dengan syarak, namun perlu memenuhi syarat tertentu.

“Antara syarat yang dinyatakan adalah keadaan darurat seperti kepadatan penduduk serta lokasi tanah perkuburan yang terhad,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

 

INFOGRAFIK

 

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker