Wanita putus haid berisiko hidang sakit jantung

Gambar Hiasan

MELAKA: Golongan wanita yang putus haid atau menopaus berisiko tinggi mendapat penyakit jantung koronari.

Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman Hospital Pantai Ayer Keroh, Dr Lim Kien Chien, berkata ini kerana selepas putus haid, wanita kehilangan perlindungan hormon seks estrogen dan progesteron, yang dibebaskan daripada kelenjar terutamanya ovari, turut berfungsi sebagai pelindung kepada pembentukan aterosklerosis atau penyempitan dan pengerasan pembuluh darah akibat plak.

“Ini bermakna wanita mempunyai risiko sama tinggi seperti lelaki untuk mengalami serangan jantung, strok atau kematian mengejut selepas putus haid, dan secara amnya putus haid atau menopaus akan berlaku dalam kalangan wanita berumur 45 hingga 55 tahun, manakala kadar purata ialah pada umur 50 tahun,” katanya di sini.

Pembentukan aterosklerosis yang berlaku pada dinding salur darah arteri jantung koronari adalah proses keradangan, iaitu kolesterol berlebihan terutamanya kolesterol tidak baik (LDL) termendap pada dinding arteri.

“Tanpa jagaan dan rawatan, proses ini berterusan dan akhirnya menyebabkan tumbesaran plak dan pembentukan sumbatan.

Cara Menurunkan Kolesterol Dalam Darah (Tanpa Makan Ubat)

Sumbatan plak boleh mengganggu bekalan oksigen kepada organ dalaman jantung,” katanya menambah proses itu juga boleh berlaku pada organ lain seperti otak, buah pinggang dan otot kaki.

“Gangguan bekalan oksigen mengakibatkan antaranya sakit angin ahmar, serangan jantung, serangan otak, kegagalan buah pinggang dan kematian mengejut.

“Permulaan proses aterosklerosis ini juga boleh disebabkan oleh penyakit kronik lain seperti kencing manis, darah tinggi, atau merokok,” katanya.

Dr Lim berkata, tidak semua individu mempunyai masalah kolesterol memerlukan ubat selain paras alkohol boleh diterima setiap individu juga berbeza.

“Amalan gaya hidup sihat termasuk kurangkan makanan berlemak atau bergoreng, selain menjaga berat badan mampu mengurangkan 20 peratus masalah kolesterol,” katanya.

Penilaian risiko untuk seseorang mengalami penyakit kardiovaskular dalam tempoh 10 tahun akan datang boleh dibuat oleh doktor menerusi kaedah ‘Framingham Risk Score’.

“Doktor bersedia untuk merangkumi risiko jenis bukan tradisional dalam mentafsir risiko kardiovaskular pelanggan.

“Salah satu gajet yang digunakan ialah ‘Coronary Calcium Score’ iaitu kiraannya membabitkan mesin pengimbas ‘CT 640 Lembaran’ yang mampu menghasilkan imej lebih jelas, cepat serta tepat selain beradiasi rendah.

“Penyakit jantung adalah antara pembunuh utama rakyat negara ini, justeru mulakan tekad untuk mengamalkan gaya hidup sihat bagi memastikan jantung sentiasa sihat, bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu secara konsisten,” katanya.- Bernama

5 Makanan Dan Minuman Yang Boleh Mengurangkan Kolesterol

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker