PATI tidak akan keluar dapatkan vaksin kecuali dasar disesuaikan, kata Liew

Pendatang tanpa izin dan pelarian tidak mungkin akan tampil untuk menerima pelalian Covid-19 selagi dasar penguatkuasaan tidak disesuaikan, kerana bimbang akan dihukum, kata bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong.

Walaupun bersetuju dengan kenyataan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, bahawa semua pelarian dan pendatang tanpa izin akan menerima pelalian, beliau bimbang jaminan ini tidak mencukupi.

“Adalah penting untuk semua orang diberi vaksin, terutama mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi seperti pekerja asing dan pelarian.

“Tetapi saya tidak fikir pendatang tanpa izin akan keluar. Mereka tidak akan mempercayai kata-kata Khairy kecuali pihak imigresen, polis dan semua agensi keselamatan yang lain memikirkan semula hal ini. ”

Bercakap dalam webinar bertajuk ‘Covid-19: Seeking solutions for prisons and refugees’ yang dianjurkan oleh G25 Malaysia dan Yayasan Edunity, senator itu berkata, selagi kebimbangan mereka tidak diatasi, mereka tidak akan keluar dan masalah kluster yang muncul dari pusat tahanan dan penginapan pekerja akan berterusan.

Pegawai kesihatan awam bersekutu dari Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR), Dr Susheela Balasundaram, berkata mereka sedia membantu proses vaksinasi.

“Kami sedia untuk membantu apa yang perlu dalam hal pemberiaan vaksin bagi memastikan semua pelarian diberikan akses,” katanya.

Menyentuh soal defisit kepercayaan antara masyarakat dan kerajaan, Susheela berkata UNHCR terbuka untuk membantu kerajaan selesaikan jurang itu.

“Kami sedia berkolaborasi dengan kerajaan untuk melihat apa yang dapat dilakukan melalui komunikasi dan persiapan masyarakat dari segi maklumat dan tempat untuk mendapatkan akses.”

Tambahnya, penyelesaian jangka panjang dalam membantu memastikan kesihatan pelarian, bahkan setelah pandemik berakhir, diperlukan, lalu mengambil contoh India dan Iraq yang menyediakan rawatan kesihatan setara dengan yang diterima warganya. Thailand pula menyediakan skim pembiayaan kesihatan untuk pelarian.

Suntikan vaksin: Pekerja asing tidak berdokumen diseru keluar, tidak ditahan – Khairy

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker