MYDIN tawar jadi pusat vaksin COVID-19

SUBANG JAYA: Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) menawarkan rangkaian cawangannya sebagai pusat vaksin COVID-19 bagi memastikan masyarakat mempunyai akses dan mudah untuk mendapatkan vaksin terbabit.

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, berkata pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengenalpasti lokasi yang bersesuaian sebagai pusat vaksin terbabit.

Beliau berkata, ia juga adalah sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) MYDIN.



“Kita dapat melihat pengorbanan petugas barisan hadapan yang gigih dan tidak kenal erti putus asa dalam memastikan pandemik ini dapat ditamatkan segera.

“Justeru, MYDIN terbuka bagi sebarang perbincangan dengan KKM bagi tawaran ini jika dirasakan ia bersesuaian dan mendapat persetujuan pihak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga berkata, MYDIN mempunyai 27 pasar raya besar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan kawasan yang agak luas bagi memastikan keselesaan bakal penerima vaksin terbabit.

Katanya, MYDIN juga berharap rakyat tempatan dan pekerja asing memberi kerjasama kepada semua petugas kesihatan dengan mengambil vaksin percuma ini apabila diminta berbuat demikian.



“Bersama kita mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan berdoa supaya Malaysia dapat menjadi antara negara bebas COVID-19 selepas pelaksanaan program vaksinasi bermula hujung bulan ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker