Puad akan jawab isu tuntutan maaf dari Muhyiddin

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi akan membuat penjelasan mengenai tuntutan permohonan maaf secara terbuka atas dakwaan memfitnah Perdana Menteri.

Beliau ketika dihubungi MalaysiaGazette memaklumkan, perkara itu akan dijawabnya beliau menerusi laman sosialnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bilakah perkara itu akan dibuat.

“Nanti saya akan jawab perkara itu di Facebook. Saya akan kemaskini, semua orang boleh tengok dalam Facebook saya,” katanya ringkas.

Beliau ditanya mengenai tuntutan permohonan maaf secara terbuka dan bayaran ganti rugi sebanyak RM10 juta yang dituntut oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership.

Tuntutan itu dibuat terhadap kenyataan Mohd Puad kononnya  Muhyiddin enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi dari Jakarta pada 5 Feb lalu sehingga kerajaan terpaksa mewartakan perintah kuarantin tiga hari terhadap menteri.

Firma guaman itu juga diarah untuk menuntut Mohd Puad menyatakan permohonan maaf secara terbuka disiarkan secara jelas dan segera di Laman Facebooknya dan semua portal berita dan media sosial yang menyiarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu.

Selain itu, Mohd Puad juga dituntut mengeluarkan aku janji bertulis untuk tidak mengulangi atau menerbitkan kenyataan sama atau seumpama itu dalam apa jua cara sekalipun.

Difahamkan surat tuntutan tersebut dihantar melalui e-mel dan juga diserahkan secara tangan kepada Mohd Puad hari ini.

Pada 9 Feb lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan menafikan sekeras-kerasnya fitnah yang dibuat oleh Mohd Puad kononnya perintah kuarantin tiga hari untuk Menteri yang melakukan lawatan ke luar negara diwartakan oleh kerajaan kerana Perdana Menteri enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi ke Indonesia. – MG

Muhyiddin minta Puad Zarkashi mohon maaf, ganti rugi RM10 Juta

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker