Belalai hilang, gajah ada

Sandakan: Pembunuhan kejam seekor gajah pygmy Borneo di Tongod, Kinabatangan bulan lepas mengejutkan seluruh Sabah.

Keadaan bangkai gajah itu melukakan hati ramai orang apabila ‘gergasi lembut Borneo’ itu disiat kulitnya dengan anggota badannya dipotong dan dihamparkan, terlalu mengerikan untuk mereka yang berhati lemah.

Apa yang lebih aneh ialah belalainya hilang namun gading yang dikenali sebagai komoditi bernilai sejak zaman purba masih ada.

Gajah mati ditembak, kulit disiat

Tidak dinafikan, ia kes terburuk dalam sejarah kematian haiwan yang direkodkan di Sabah.

Pengarah Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata, sementara tiada tangkapan dibuat, jabatannya komited menyiasat kematian gajah itu sehingga berjaya menangkap pelaku dan membawa mereka ke mahkamah.

Langit cerah menyambut pekerja sebuah ladang kelapa sawit dekat Kampung Imbak, Tongod pada pagi 20 Januari 2021 selepas berhari-hari hujan lebat.

Waktu menunjukkan jam 8 pagi apabila beberapa orang pekerja memulakan tugas mereka di estet itu. Ketika itulah mereka terhidu bau busuk yang kuat.

Menurut Tuuga, gajah itu dianggarkan mati selama empat atau lima hari sebelum bangkainya ditemukan. Unit Penyelamat Hidupan Liar daripada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dihubungi dengan segera.

Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan pihak yang bertanggungjawab di atas kematian gajah pygmy Borneo itu.

“Saya ada dengar gajah memakan tanaman dan kelapa sawit orang kampung, tetapi membunuh bukan caranya untuk menghukum haiwan ini.

“Cara terbaik menghalau gajah ialah dengan menghubungi Unit Penyelamat Hidupan Liar daripada JHL. Itu yang penduduk di kampung saya lakukan,” kata Hidzwah Ahmet, 32 dari Kampung Abai, Kinabatangan.

Beliau pernah melihat sekawan gajah pygmy Borneo beberapa kali di kampungnya dan sering menceroboh tanah perkuburan kampung dan merosakkan kuburan.

“Saya tidak ingat jika ada gajah menyebabkan bahaya terhadap manusia kecuali diprovokasi dan ini yang sering berlaku. Walaupun saiznya menakutkan, gajah sangat unik, ” katanya.

Pertama kali gajah muncul di tanah keluarga Poliana Sidom, 30-an dari Kampung Gambaron, Telupid ialah pada tengah malam hinggakan kehadiran mereka secara tiba-tiba walaupun dalam keadaan senyap, masih menakutkan keluarganya sehingga mereka melarikan diri dan terus ke balai polis untuk meminta pertolongan.

“Penduduk kampung marah kerana kelapa sawit mereka dirosakkan dan dimakan.

“Tetapi kerana beberapa dialog diadakan di kampung saya oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Forever Sabah dan Seratu Aatai serta agensi kerajaan, penduduk kampung belajar memasang pagar dan membuat bunyi menakutkan seperti membunyikan hon kereta menghalau gajah,” katanya.

“Saya rasa setiap kali (ada penemuan gajah yang dibunuh kejam), JHL atau mana-mana agensi kerajaan akan menawarkan ganjaran,” kata pengerusi penaja Badan Amanah Konservasi Gajah Bertanggungjawab (Respect), Alexander Yee.

Beliau mengakui, rasa takut menyelubungi masyarakat tempatan untuk membuat laporan berkenaan maklumat kesalahan atau individu berhubung kematian sesuatu haiwan terancam seperti gajah pygmy Borneo.

“Duit (wang ganjaran) boleh menghapuskan perasaan takut itu dan menggalakkan masyarakat untuk membuat laporan.

“Tetapi itu terpulang kepada JHL (untuk memutuskan tawaran ganjaran). Saya ingat ada NGO pernah tawarkan ganjaran,” katanya.

Yee juga mencadangkan JHL mewujudkan satu laman sesawang berkaitan insiden kematian gajah bagi membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan kes membabitkan spesies terancam itu di Sabah.

Poliana mengakui penduduk kampung takut untuk memberi maklumat kepada pihak berkuasa mengenai pembunuh gajah.

Beliau berkata, bukan setakat risau nyawa mereka dalam bahaya jika pembunuh terbabit mengetahui tindakan mereka, tetapi mereka merasakan berkongsi maklumat penting dengan pihak berkuasa tidak memanfaatkan masa serta susah payah mereka.

“Jika ada tawaran ganjaran, saya rasa itu akan lebih berkesan dalam menarik masyarakat membuat laporan.

“Kadang kala orang takut mahu membuat laporan, biarpun mereka ada maklumat mengenai pembunuh, tetapi mereka tidak peduli kerana tiada apa-apa manfaat kepada mereka,” katanya.

Hidzwah pula berpandangan, pemberian wang ganjaran menggalakkan penduduk setempat berusaha mencari maklumat mengenai kejadian pembunuhan gajah.

Menurut beliau, wang ganjaran memudahkan siasatan dijalankan dengan lancar sehingga membawa kepada penangkapan pembunuh mamalia itu.

“Pelaksanaan undang- undang pemeliharaan hidupan liar perlu tegas supaya tidak ada pihak yang akan memandang remeh usaha kerajaan dalam melindungi hidupan liar seperti gajah,” katanya.

Kali terakhir kerajaan negeri melalui JHL menawarkan wang ganjaran untuk maklumat pembunuh gajah ialah pada Oktober 2019 susulan penemuan satu bangkai dengan 70 kesan tembakan dalam keadaan terduduk berhampiran tebing Sungai Udin, Kalabakan pada 25 Sept, 2019.

Difahamkan, janji wang ganjaran itu RM10,000, yang ditingkatkan kepada RM30,000 berikutan ikrar/janji penderma yang enggan dikenali dan Orangutan Appeal UK, ditunaikan kepada seeorang pemberi maklumat selepas tertangkapnya enam lelaki dikaitkan dengan kes itu.

Namun selepas polis ke mahkamah dua kali untuk mendapatkan perintah reman terhadap suspek, mereka dibebaskan tanpa didakwa.

 

Penolong Pengurus Unit Penyelamat Hidupan Liar Sabah Jibius Dausip memeriksa keadaan gajah yang cedera sebelum dipindahkan ke Santuari Gajah Borneo (BES) untuk rawatan. FOTO BERNAMA
Penolong Pengurus Unit Penyelamat Hidupan Liar Sabah Jibius Dausip memeriksa keadaan gajah yang cedera sebelum dipindahkan ke Santuari Gajah Borneo (BES) untuk rawatan. FOTO BERNAMA

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker