PRU-15: BN Sabah sasar tanding minimum 14 kerusi Parlimen – Bung Moktar
KOTA KINABALU: Pengerusi Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah, Bung Moktar Radin, berkata parti itu mensasarkan sekurang-kurangnya 14 kerusi Parlimen untuk ditandingi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Sasaran itu dibuat berdasarkan 14 kerusi yang ditandingi mereka pada PRU14 iaitu di Kudat, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Beluran, Libaran, Kinabatangan, Silam, Semporna, dan Kalabakan.
Sasaran itu juga berpandukan kepada kajian parti menerusi Jabatan Urusan Pilihan Raya (Juara) Umno Sabah dengan sekretariat penyelidikan yang dipengerusikan oleh ADUN Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya.
“Penyelidikan menjurus kepada kekuatan sokongan rakyat kepada Umno dan BN di kerusi yang dituntut.
“Ia akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan hasil daripada rumusan laporan itu nanti kita akan muktamadkan kerusi mana yang bakal ditandingi oleh Umno dan BN,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan menyuarat Juara Umno Sabah di ibu pejabat parti, kelmarin.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Umno Sabah, Yakub Khan; Setiausaha Umno Sabah, Jafry Ariffin; dan Pengarah PRU-15 Umno Sabah, Salleh Said Keruak.
Demokrasi UMNO: Zahid Alu – Alukan Cabaran Jawatan Presiden, Lagi Ramai Bertanding Lebih Baik
Bung juga berkata, rundingan dengan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga perlu dibuat secara telus dan secepat yang mungkin.
“Rundingan awal bersama BN dan GRS perlu dilakukan secara telus berdasarkan kepada kekuatan parti masing-masing dan ia perlu diputuskan lebih awal serta tidak menunggu saat akhir bagi menghadapi PRU-15.
“Dalam PRU15, kita mahu menang dan tubuhkan kerajaan bukan bertanding untuk bermegah. Oleh sebab itu setap kerusi yang akan ditandingi perlu diteliti berdasarakan geo-politik serta kemahuan pengundi,” katanya.
Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen dan sekiranya Umno dan BN bertanding di 14 kerusi, ini bermakna hanya tinggal 11 kerusi lagi untuk diagih-agihkan kepada parti lain dalam GRS.
PPBM jangan gelojoh umum jumlah kerusi mahu ditandingi, kata Umno Sabah