PPBM jangan gelojoh umum jumlah kerusi mahu ditandingi, kata Umno Sabah

KOTA KINABALU: Pengarah komunikasi Umno Sabah, Ghazalie Ansing berkata, parti itu tetap dengan pendirian untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dan pernah ditandingi sebelum ini.

Selain itu katanya, Umno Sabah juga mengintai beberapa lagi kerusi yang berpotensi untuk dimenangi oleh parti berkenaan.

“Pengerusi Umno Sabah (Bung Mokhtar Radin) juga telah menyatakan akan bertanding sekurang-kurangya 38 kerusi pada PRN (pilihan raya negeri) nanti.

“Bagaimanapun kami bersedia untuk berunding dengan mana-mana parti, tetapi syarat ini merupakan ‘baseline’ untuk dijadikan asas perundingan seperti yang diberikan kepada Umno Sabah, iaitu autonomi untuk memilih mana-mana parti sebagai rakan kongsi pilihan raya,” katanya ketika dihubungi FMT, hari ini.



Ghazalie berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman PPBM Sabah yang menyatakan hasrat untuk bertanding di 45 kerusi Dun pada PRN nanti.

“Saya harap PPBM mengambil sikap tenang dan tidak gopoh untuk mengumumkan akan bertanding di 45 kerusi DUN kerana mereka kekuatan mereka belum terbukti pada mana-mana PRK (pilihan raya kecil) di Sabah,” katanya.

Terdahulu pengerusi PPBM Sabah, Hajiji Noor dalam kenyataan harui ini berkata, parti itu mengenal pasti 45 kerusi untuk ditandingi, namun pada masa sama sedia berbincang dengan Perikatan Nasional (PN), Umno dan Barisan Nasional (BN).

Pada Khamis, Ketua Menteri, Mohd Shafie Apdal, mengumumkan pembubaran DUN bagi membolehkan PRN diadakan.



Ini berikutan pengumuman bekas ketua menteri Musa Aman bahawa pihaknya mempunyai sokongan majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan baru di negeri itu.

Ketika ini, Umno Sabah memiliki 1 daripada 17 kerusi DUN yang dimenangi pada pilihan raya umum ke-14, selepas 16 Adunnya meninggalkan parti itu dan menyertai parti gabungan kerajaan Warisan dan PPBM.

Kerusi tunggal Umno disandang Musa Aman yang mewakili DUN Sungai Sibuga.

73 kerusi DUN bakal dipertandingan dalam PRN Sabah kali ini, berbanding 60 kerusi pada pilihan raya umum lepas.



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker