Menteri perjelas kekeliruan SOP latihan sukan

 

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjelaskan latihan untuk sukan seperti bola sepak, bola keranjang, sepak takraw dan hoki, dibenarkan secara kemahiran kendiri tanpa membabitkan perlawanan dan sentuhan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Berikutan kekeliruan prosedur operasi standard (SOP) mengenai sukan-sukan tersebut beliau berkata, latihan hantaran bola, kemahiran seperti menimbang dan menggelecek juga dibenarkan, asalkan penjarakan fizikal dipatuhi, tidak membabitkan sentuhan, selain kapasiti penggunaan padang atau gelanggang 30 peratus daripada kapasiti sebenar.

“Sukan seperti hoki dan bola sepak tidak boleh adakan perlawanan tetapi latihan sahaja, manakala acara beregu tidak dibenar untuk badminton, tenis dan ping pong, kerana sukar untuk menjaga penjarakan dan wujud kemungkinan untuk berlaku sentuhan dan ‘titisan’ sekali gus membawa risiko penularan.

“Kita nak tolong operator padang komersial beroperasi, sekurang-kurangnya mereka boleh membuat latihan dan penggiat yang ada kelab boleh memulakan aktiviti kecergasan secara bersemuka, berbanding hanya menerusi secara dalam talian,” katanya ketika ditemui pemberita di Sports Arena di sini, hari ini.

Reezal Merican yang sebelum itu melakukan tinjauan ke Kelab Golf Glenmarie, venue latihan pasukan Liga Super UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam, dan Sports Arena Sentosa, mengakui berpuas hati dengan pematuhan kepada peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) di premis-premis berkenaan.

Penggunaan tunai merosot 64% sejak awal pandemik #COVID-19

Beliau turut memuji langkah operator fasiliti sukan, yang mengambil langkah tambahan seperti mempamerkan maklumat keputusan ujian calitan pekerja, yang dapat memberi keyakinan kepada pengguna, selain berharap pengusaha gimnasium mengekalkan kepatuhan, apabila hanya wujud satu kes penularan dalaman daripada 3.1 juta kunjungan ke kemudahan gimnasium, ketika ia diberi kelonggaran pada tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sports Arena, Datuk Jack Koh sambil merakamkan penghargaan kepada kerajaan untuk membenarkan pihaknya beroperasi berkata, kebanyakan operator fasiliti sukan hampir ‘lemas’ dan tinggal ‘nyawa-nyawa ikan’, selepas ditutup sejak 13 Januari lalu.

“Saya rasa mematuhi kepada SOP yang ketat lebih baik berbanding kami ditutup terus dan seperti yang boleh kita lihat, sukan adalah keperluan sama seperti makanan, air dan udara, untuk meningkatkan sistem imunisasi kita.

“Semua kakitangan kami diuji setiap bulan dan keputusannya dipaparkan, kami mensanitasi arena selepas setiap sesi dan melabur untuk membeli gantri pensanitasian, bagi mengelakkan penularan COVID-19.

“Kami juga telah membahagikan gelanggang kepada lima zon. Setiap pasukan hanya bermain di satu zon,” katanya dan menambah fasiliti itu turut mempunyai 21 gelanggang badminton dan empat gelanggang futsal selain kemudahan gimnasium, yoga, ping pong, sepak takraw dan gimnastik.

– BERNAMA

Dolla teruja single terbaharu dapat sentuhan komposer antarabangsa [Video]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker