Ayob Khan pertahan tindakan ‘anak buah’

KLUANG: Polis Johor mempertahankan tindakan pegawai dan anggotanya yang menembak mati empat penjenayah di Jalan Pagoh – Parit Sulong awal pagi kelmarin.

Ketuanya, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota dan pegawainya bertindak demikian untuk mempertahankan diri selepas suspek melepaskan tembakan dan menyerang mereka dengan senjata tajam.

“Semua pihak berhak memberikan pendapat mengenai tindakan polis itu, namun polis lebih berhak melakukan tindakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP).

“Polis masih menjalankan siasatan dan saya masih menunggu laporan lengkap mengenainya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penghormatan terakhir kepada mendiang Lans Koperal Bradford Bernard yang meninggal dunia selepas dirempuh pemandu mabuk di sini, semalam.

Beliau mengulas tindakan NGO menggesa Ayob Khan merujuk semula Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) mengenai SOP melepaskan tembakan ketika menahan suspek.

NGO terbabit mempersoalkan tindak balas polis menembak empat suspek samun hingga mati sama ada bersesuaian SOP.

Jumaat lalu, polis menembak mati empat suspek samun selepas terbabit dalam pergelutan di Jalan Pagoh-Parit Sulong.

Suspek sebelum itu turut melepaskan tembakan ke arah polis selain ada yang melibas parang serta kerambit sehingga mencederakan anggota keselamatan.

Mengulas desakan itu, Ayob Khan berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempunyai hak untuk bersuara, namun menegaskan polis bertindak mengikut SOP digariskan.

“Kita bekerja mengikut SOP, mungkin NGO terbabit tidak baca secara menyeluruh kenyataan dikeluarkan sama ada secara lisan atau bertulis, pihak polis lepaskan tembakan kerana mereka (penjenayah) melepaskan tembakan terlebih dulu,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker