Mahathir Dakwa Perintah Darurat Tidak Sah dan Tidak Boleh Dikuatkuasakan

KUALA LUMPUR: Perintah darurat yang dikuatkuasakan kerajaan ketika ini adalah tidak sah, dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, ini bermakna apa sahaja tindakan yang diambil kerajaan masa kini adalah tidak boleh digunapakai.

“Perisytiharan darurat itu sendiri tidak mengikut undang-undang. Perlembagaan berkehendak Warta Kerajaan pengisytiharan darurat dikemuka kepada Parlimen. Tetapi syarat ini tidak dihirau.



“Oleh itu darurat ini tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan. Ini bermakna semua tindakan kerajaan tidak sah. Inilah keadaan dalam negara sekarang.

“Kerajaan melakukan bermacam-macam kesalahan tetapi mahkamah tidak dibenar menilai sama ada tindakan dan perlakuan oleh kerajaan halal atau haram dari segi undang-undang,” jelas Dr Mahathir dalam kenyataan yang dibuat secara langsung di akaun Facebook rasminya pada Isnin.

Tambah Ahi Parlimen Langkawi itu, sememangnya ada pihak yang akan menghalalkan segala tindak-tanduk yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini.

“Mereka mempunyai sebab peribadi kenapa sokong perlakuan yang salah dari segi undang-undang ini.



“Inilah kerajaan Malaysia sekarang. Amat malang kerana segala saluran untuk rakyat menyata yang benar, iaitu kerajaan ini tidak sah dari segi Perlembagaan Negara terkunci tutup.

“Ia kerana pemerintahan mengikut undang-undang, The Rule of Law, sudah tidak ada,” ujarnya lagi.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.



Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker