Kerusi PRU-15: Pemuda UMNO Perak sokong pendirian konsisten Saarani

IPOH: Pergerakan Pemuda UMNO Perak menyokong penuh pendirian konsisten Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad dalam mengekalkan status quo kerusi yang akan ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Mohd Ariff Abdul Majid berkata, pendirian itu bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah beberapa kali dinyatakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak itu.

“Isu ini telah dinyatakan beberapa kali sebelum ini di mana UMNO akan kekal bertanding di setiap kerusi yang dimenangi UMNO dalam pilihan raya yang lalu termasuk kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen yang melompat keluar.

“Pendirian ini jelas memandangkan UMNO bukanlah sebahagian daripada komponen Perikatan Nasional dan masih kekal sebagai rakan komponen Barisan Nasional bersama MCA dan MIC,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saarani dalam wawancara bersama akhbar Sinar Harian pada Ahad memberi kata dua kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya tidak bertanding di kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU14.

Menurut Saarani, pihaknya tidak akan berkompromi dan bertegas supaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kekal ditandingi UMNO pada PRU15 akan datang.

Ketegasan Saarani itu mendapat pelbagai reaksi kurang senang daripada beberapa pemimpin Bersatu termasuk bekas Ketua Armada Negeri Perak, Mohd Hafiz Mubin Mohd Salleh.

Mohd Ariff berkata, UMNO tidak pernah memungkiri janji yang telah disepakati bersama Pas di dalam Muafakat Nasional untuk memberi laluan kepada kerusi yang dimenangi PAS dalam PRU yang lalu bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

Zahid Sahkan Pembentukkan Kerajaan Perak Turut Bersama PAS dan Bersatu

Justeru itu, beliau berharap agar Mohd Hafiz lebih memahami konteks kerjasama yang dimeterai kini di antara UMNO dan PPBM.

“UMNO sentiasa konsisten dalam melibatkan parti Bersatu di dalam sebarang keputusan pentadbiran kerajaan negeri Perak, tanpa ada sebarang helah atau muslihat tertentu.

“Sudah tentu ia berbeza dengan pentadbiran sebelum ini dimana terdapat banyak keputusan yang dibuat membelakangi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak termasuk soal pelantikan Setiausaha Politik Menteri Besar Perak pada ketika itu,” ujarnya.

Menurutnya, itu membuktikan bahawa UMNO sentiasa berlapang dada dan tidak pernah menyimpan dendam walaupun tindakan PPBM sebelum ini yang terlibat secara langsung dalam
tindakan ADUN atau Ahli Parlimen UMNO yang melompat keluar parti.

Oleh yang demikian, beliau turut berharap agar kekeliruan itu dapat difahami dengan jelas oleh Mohd Hafiz agar lebih meneliti konteks kerjasama yang terjalin kini.

Katanya, UMNO tidak pernah sesekali meminta sesuatu yang bukan menjadi milik parti itu serta berbesar hati untuk memberi ruang kepada PPBM kekal bertanding di dua kerusi yang dimenangi pada PRU14 lalu.

Selain itu juga, UMNO sentiasa terbuka untuk terus bekerjasama dalam apa juga bentuk yang meletakkan perjuangan agama, bangsa dan tanah air sebagai teras utama perjuangan.

“Namun begitu ia harus disulami dengan nilai keikhlasan dan kejujuran sebagai akar utama penyatuan dan tidaklah sekadar diungkapkan dengan kata-kata,” tambahnya lagi.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker