Al NASLAA : Misteri Batu Yang Terbelah Sempurna Di Gurun Arab

Sebongkah batu besar di tengah padang pasir yang tandus di Arab Saudi sehingga kini meninggalkan persoalan kepada para pengkaji.

Batu ini terletak di Tayma, kawasan padang pasir di barat laut Arab Saudi. Sekali lihat, sudah nampak keganjilan pada batu ini. Ia terbelah dua di tengahnya. Belahan itu pula amat sempurna, bagaikan dilibas dengan pedang tajam.

Manakala di bahagian bawah pula, bongkah batu besar ini hanya disanggah dengan batu yang jauh lebih kecil. Ikutkan logik, ia bagai berlawanan dengan hukum fizik. Kelihatan mustahil apabila bahagian bawah yang kecil mampu menampung bebanan berat dan saiz lebih besar di bahagian atas.

Batu Al Naslaa.

Inilah misteri yang menyelubungi batu yang dikenali sebagai Al Naslaa ini. Sehingga hari ini, keganjilannya terus menjadi tanda tanya.

Menurut pengkaji, bongkah batu ini sudah wujud sejak zaman kuno lagi.  Pada batu ini juga terdapat sebuah lukisan purba memaparkan seorang manusia dan seekor haiwan menyerupai kuda.

Lukisan tersebut turut menimbulkan pelbagai tanda tanya. Apakah pada masa dahulu wujud sebuah ketamadunan purba di lokasi berhampiran bongkah batu ini.

Lukisan purba pada batu Al Naslaa.

Dikatakan daerah Tayma pada zaman dahulu pernah menjadi kawasan penempatan dan laluan pedagang dari zaman tamadun Babylon. Mungkinkah orang-orang terdahulu berinteraksi dengan pelbagai cara, termasuk menulis atau melukis di atas batu. Namun, ini hanya salah satu teori yang dikaitkan dengan lukisan pada batu Al Naslaa.

Berdasarkan kajian yang pernah dilakukan, rata-rata pengkaji mengaitkan keanehan batu ini dengan dua teori.

Pertama,mereka mengaitkan kewujudan belahan di bahagian tengah batu tersebut disebabkan faktor hakisan. Kejadian seumpama ini mungkin berlaku akibat pergerakan angin laju di kawasan padang pasir.

Kedua, tidak kurang juga yang mengaitkan kejadian ini berlaku akibat proses pergerakan tanah yang berlaku sejak jutaan tahun lalu. Mungkin lokasi batu berkenaan pernah mengalami kejadian gempa bumi sehingga membuat ia terbelah sedemikian rupa.

Ada juga teori yang mengaitkan dengan proses peluluhawaan fizikal (physical weathering). Proses peluluhawaan fizikal ini pada asasnya akan mengubah dan memecahkan keadaan fizikal batuan kepada saiz yang lebih kecil, bergantung kepada kadar proses luluh hawa terbabit.

Proses peluluhawaan banyak berlaku pada batu-batu di kawasan gurun yang menyebabkan batu itu terbelah.

Batu Al-Nasla terletak di kawasan gurun dan mudah terdedah kepada suhu panas melampau pada siang hari dan suhu sejuk pada malamnya.  Pengembangan batuan pada waktu siang dan penguncupan pada waktu malamnya dalam jangka masa lama boleh menghasilkan retakan atau potongan yang kita ddpat lihat pada  Batu Al-Nasla ini.

Di sebalik teori para pengkaji, ada juga teori yang mengaitkan belahan batu ini angkara senjata laser dari makhluk luar angkasa.

Seperti biasa, semuanya sekadar teori. Bahkan, para pengkaji saintifik juga tidak mampu merungkai keanehan batu Al Naslaa. Bagaimana batu ini terbelah dua dengan sempurna dengan kedudukan yang melawan hukum fizik, ditambah pula dengan lukisan purba yang masih tidak dapat jelaskan maksudnya.

Batu ini kekal berdiri di gurun tandus, menyimpan rahsia keanehannya dan menimbulkan tanda tanya kepada manusia yang melihatnya.

[VIDEO] Salji Turun Di Arab Saudi dan Gurun Sahara

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker