Sekatan jalan raya tidak halang lalu lintas, tetapi hentikan virus, kata KPN

PETALING JAYA: Dengan hampir semua sektor ekonomi kini dibuka, ramai penduduk bandar tertanya-tanya mengapakah polis meneruskan sekatan jalan raya (SJR), yang hanya menyebabkan kesesakan lalu lintas di banyak kawasan.

Sewaktu Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye percaya SJR masih diperlukan untuk mengawal penyebaran wabak Covid-19, seorang peguam tidak bersetuju.

Rafique Rashid Ali berkata sekatan jalan tidak berkesan dan sumber polis yang diperlukan untuk mengurusnya sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan lebih baik.



Bekas perdana menteri Najib Razak juga mencemuh SJR, dengan berkata, penunggang motosikal kini boleh memberi pelbagai alasan untuk melakukan perjalanan kerana semua sektor telah dibuka, kecuali Parlimen.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Reaksi warganet terhadap catatan Facebook beliau bercampur-campur, dengan ramai yang percaya SJR masih diperlukan buat masa ini.

Hamid berkata, selepas hampir setahun SJR dilaksanakan, anggota polis cukup berpengalaman untuk menghidu pesalah yang cuba menipu alasan perjalanan mereka untuk merentas daerah atau bergerak melebihi radius 10km yang dibenarkan.

“Sebilangan kecil mungkin berjaya menipu untuk melepasi sekatan perjalanan rentas daerah dan rentas sempadan.



“Tetapi pesalah ini perlu ingat data CCTV dan Touch n Go di plaza tol lebuh raya boleh digunakan sebagai bukti,” katanya kepada FMT.

Hamid berkata, rekod aplikasi MySejahtera juga boleh digunakan terhadap pesalah, dengan menambah bahawa jumlah rondaan telah dipertingkat dan diperluaskan bagi memastikan rakyat mematuhi peraturan Covid-19.

Lee berkata, sekatan jalan raya perlu diteruskan kerana ia akan menghalang orang ramai daripada melakukan perjalanan melebihi jarak tertentu, selain menambah bahawa ia akan membantu mengawal jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, dengan mengehadkan perjalanan, kerajaan boleh menjalankan pengesanan kontak dengan cepat dan berkesan atau melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), bukannya PKP di seluruh negara jika jumlah kes meningkat.



Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye.

“Orang ramai tidak akan membuat perjalanan secara berkumpulan kerana perhimpunan besar boleh berperanan sebagai ‘super spreader’ dan ini juga boleh menghalang mereka daripada membuat perjalanan tidak perlu dalam daerah.”

Bagaimanapun katanya, garis panduan yang lebih jelas diperlukan untuk perjalanan antara daerah dan had radius 10km kerana ada individu yang perlu merentas sempadan untuk janji temu di hospital, misalnya.

Namun Rafique berkata, sekatan jalan raya tidak berkesan.

“Petugas barisan depan kita, terutama pasukan keselamatan boleh dimanfaatkan dengan lebih baik di tempat lain. Sekiranya hanya untuk tujuan berdiri sebagai pengawal, maka anda perlu bersimpati dengan mereka.



“Sekiranya sekatan jalan raya diperlukan, adakannya di sempadan negeri untuk menghentikan perjalanan antara negeri,” katanya kepada FMT.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker