Di mana suara anda Rina Harun? – Kasthuri Patto

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun seharusnya menggunakan kedudukan, masa, tenaga, dan sumber yang ada untuk membetulkan apa yang salah di dalam sistem pentadbiran.

Jika itu dapat dilakukan, barangkali tiada kritikan atau cemuhan yang dilontarkan rakyat Malaysia terhadap perubahan imej beliau yang nyata telah menarik perhatian ramai pihak.

Itu pandangan keras yang dilontarkan Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto terhadap Ahli Parlimen Titiwangsa itu, yang didakwa tidak peka terhadap banyak isu yang melingkari kaum wanita sejak kebelakangan ini.

“Apa yang kita telah lihat ialah hasil penggambaran anda yang amat mempersonakan – tetapi itu sahaja.

“Sikap berdiam diri anda adalah bukti anda sama ada tidak mempedulikan apa yang terjadi di sekeliling anda, atau anda sebenarnya tidak tahu bagaimana menguruskan situasi sebegini, yang mana agak memalukan kerana anda telah menjadi anggota Kabinet sejak 2018,” katanya lagi seperti diterbitkan portal Malaysiakini, hari ini.

Rina, merupakan antara anggota Kabinet yang kekal walaupun kerajaan telah bertukar tangan daripada Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, kepada Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau telah menerima kritikan pelbagai pihak kerana tidak mengeluarkan kenyataan mengenai beberapa insiden yang menimpa kaum wanita, serta isu melibatkan elemen penderaan, gangguan seksual, dan keganasan rumah tangga.

Selain itu, tular beberapa gambar beliau mengenakan busana rekaan seorang pereka tempatan telah menimbulkan lebih banyak kemarahan pihak berkenaan, yang dikatakan tidak sensitif dengan isu-isu berkaitan portfolio yang beliau pegang.

Mengulas lanjut, Patto berkata, agak mengecewakan melihat Menteri dan Timbalan Menteri KPWKM hanya berdiam diri, dan tidak mengeluarkan kenyataan berkaitan isu yang melingkari spektrum kementerian mereka.

Ujarnya lagi, sejak dua bulan lepas pelbagai kejadian yang menggemparkan berlaku, termasuk gadis berusia 16 tahun didakwa dirogol di dalam lokap polis di Sarawak, dan kanak-kanak berusia 7 tahun mati dipercayai akibat didera.

Terbaharu, Patto turut menyebut bagaimana beberapa wanita menggunakan media sosial untuk berkongsi pengalaman hak peribadi mereka telah dicabuli, termasuk dakwaan anggota penguatkuasa melakukan gangguan seksual terhadap seorang pemandu wanita.

“Tiada satu pun kenyataan keras mengenai perubahan polisi, kerjasama dengan kementerian atau agensi lain mengenai isu yang saya bangkitkan.

“Pada Disember lepas, sewaktu sesi Parlimen, Rina secara sarkastik memberitahu saya beliau memerlukan Ahli-ahli Parlimen sepert saya untuk mengingatkan beliau bagaimana untuk melakukan tugas sebagai seorang Menteri. Jadi di sini saya ingin ingatkan Rina bahawa beliau bertanggungjawab terhadap semua rakyat Malaysia, bukan saya seorang,” kata Patto lagi.

Patto berkata, rakyat Malaysia memerlukan seorang Menteri yang boleh menjadi suara kepada golongan yang tidak mempunyai suara, serta suara kepada golongan wanita untuk menentukan polisi dan peraturan serta undang-undang di bawah KPWKM-Awani

Trending di Twitter, Adham Baba, Rina Harun Kini Bersaing

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker