Had kuasa PM dalam pelantikan hakim, kata Majlis Peguam


Perdana menteri mesti memainkan peranan minimum dalam pelantikan hakim, sesuai dengan pematuhan ketat doktrin pengasingan kuasa, kata Majlis Peguam.

Presidennya Salim Bashir berkata, sebagai ketua eksekutif kerajaan, perdana menteri kini diberi kuasa penuh untuk menentukan siapakah yang akan diangkat dan dinaikkan pangkat sebagai hakim dan untuk memegang empat jawatan pentadbiran dalam badan kehakiman.

Bagi memastikan kuasa perdana menteri dihadkan beliau berkata, perlembagaan persekutuan perlu dipinda untuk menaik taraf status Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Salim berkata pada 2017, perdana menteri ketika itu, Najib Razak cuba mengekalkan Ketua Hakim Negara, Raus Sharif dan presiden Mahkamah Rayuan, Zulkefli Ahmad Makinudin pada kedudukan mereka melebihi usia persaraan wajib.

Majlis Peguam bagaimanapun menentang keras percubaan itu kerana ia dianggap melanggar perlembagaan.

Katanya, Perkara 122B perlembagaan persekutuan dalam bentuknya sekarang menetapkan bahawa hakim dilantik oleh Agong berdasarkan nasihat perdana menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.

Salim berkata, empat orang terkemuka dan hakim Mahkamah Persekutuan dalam JAC juga dilantik oleh perdana menteri.

Ketua hakim, presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Sabah dan Sarawak berada dalam JAC berdasarkan kedudukan pentadbiran mereka.

Beliau berkata, tugas JAC yang dianggotai sembilan orang itu adalah untuk memilih calon tetapi hakikatnya ia adalah suruhanjaya pengesyoran kehakiman.

Di bawah Seksyen 27 Akta JAC, perdana menteri boleh meminta dua lagi nama untuk pertimbangan bagi mengisi kekosongan sekiranya beliau tidak berpuas hati dengan cadangan terdahulu.

“Dari perspektif perlembagaan dan Akta JAC, perdana menteri berhak memutuskan siapakah yang dilantik sebagai hakim,” kata Salim.

Beliau mengulas dakwaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata beliau tidak mencampuri hal ehwal badan kehakiman negara.

Mahathir menjadi perdana menteri sejak 1981 hingga 2003 dan kembali memegang jawatan itu selama 22 bulan hingga Feb tahun lepas.

Najib bagaimanapun mentertawakan dakwaan Mahathir itu dengan berkata, ia adalah pembohongan terbesar dalam sejarah kehakiman Malaysia.

Bagaimanapun, Salim berkata, campur tangan dalam hal ehwal kehakiman boleh berlaku dalam pelbagai bentuk.

Katanya, sebarang pindaan perlembagaan perlu membenarkan perdana menteri mengubah cadangan JAC hanya sekali, dan beliau mesti memberikan alasannya kepada jawatankuasa itu.

“Beliau mesti menerima mana-mana nama yang diberikan dan dikemukakan kepada Majlis Raja-raja sebelum Agong membuat pelantikan,” katanya.

Sementara itu, seorang hakim yang bersara berkata semua pegawai kehakiman perlu menjunjung sumpah jawatan itu, iaitu setia pada undang-undang negara dan melaksanakan keadilan.

“Hakim tidak perlu berterima kasih kepada sesiapa pun atas kenaikan pangkat mereka kerana mereka berkhidmat untuk undang-undang dan perlembagaan,” katanya yang tidak mahu dikenali. FMT

Double Standard: Kes Najib, PH puji mahkamah, Kes Guan Eng PH hina sistem kehakiman’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker