Isu Pekerja J&T Express Baling Barang: Bonus Ikut Prestasi, Beban Kerja Punca Pekerja J&T Protes – KSM

Pemberian bonus berdasarkan prestasi dan bebanan kerja dipercayai menjadi antara punca beberapa pekerja bahagian penghantaran serta dari bahagian gudang syarikat J&T Express (Malaysia) Sdn. Bhd. di Perak bertindak menguruskan pemunggahan bungkusan secara kasar sehingga insiden itu tular di laman sosial baru-baru ini.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkata, siasatan pihaknya mendapati pekerja  terutamanya di bahagian penghantaran bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan perubahan struktur bayaran komisen secara unilateral yang akan menyebabkan pendapatan mereka berkurangan.



Menurut KSM, pekerja-pekerja di bahagian gudang pula bertindak sedemikian sebagai protes terhadap majikan berikutan bebanan kerja yang dialami susulan peningkatan bungkusan secara mendadak.

“Pihak majikan memaklumkan bahawa isu berhubung kejadian pekerja memunggah bungkusan secara kasar telah selesai dan ia berlaku disebabkan salah faham.

“Pihak J&T telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada para pelanggan serta menjelaskan tentang sistem pemberian bonus kepada kakitangan yang menjadi punca ketidakpuasan hati kakitangan syarikat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.



KSM berkata, para majikan digesa supaya sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak pekerja terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perubahan yang melibatkan kepentingan pekerja.

“Ini bagi memastikan keharmonian perusahaan yang dinikmati pada hari ini serta kebajikan pekerja akan terus berkekalan dan terpelihara,” katanya.

Pada 4 Februari lalu, satu video mengenai tindakan beberapa pekerja syarikat kurier, syarikat J&T Express Perak yang menguruskan pemunggahan bungkusan secara kasar tular di media sosial.

Susulan itu, KSM telah menjalankan siasatan terhadap premis perniagaan syarikat terbabit yang terletak di Perak, Melaka, Johor dan Selangor.



Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan tujuh pekerja syarikat kurier J&T Express Perak membuat permohonan maaf kerana menjejaskan nama pihak syarikat dan menjejaskan barang-barang pengguna.

Pada masa sama, J&T Express Malaysia Perak dalam kenyataannya turut meminta maaf atas sikap pekerja mereka dalam mengagihkan bungkusan dengan ganas dan tidak menyenangkan.

Memalukan.. Bungkusan Berbalut Seluar Dalam Wanita, Pelanggan J&T Express Tuntut Hak..



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker