Mungkin ada khabar gembira mengenai i-Sinar – Fadhli


Mungkin ada khabar gembira daripada Kementerian Kewangan mengenai penambahbaikan kepada i-Sinar.

Itu gambaran diberikan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dalam status media sosialnya sambil mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Terima kasih kepada YB Tengku Zafrul dan YAB PM yang sentiasa mendengar suara rakyat. Sama-sama kita nantikan pengumuman yang akan dibuat nanti. Kita tunggu berita gembira Insya Allah,” ujarnya malam ini.

Menurut Ahmad Fadhli, ahli-ahli Parlimen Pas seperti beberapa pimpinan parti lain sebelum ini juga menyuarakan keresahan rakyat berhubung proses pengeluaran dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Cuma sebagai sebahagian dari kerajaan, kami mengikut adab dalam organisasi, menyuarakan dan menyampaikan secara dalaman, berbisik dan bertegas bila perlu.

“Kami tidak mengambil sikap menekan sehabis-habisnya Kerajaan dan institusi milik kerajaan sehingga mereka hendak bekerja pun susah,” katanya.

Sebelum itu, katanya, pimpinan Pas juga berkesempatan berdialog dengan Menteri Kewangan dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri di Kementerian Kewangan.

“Apa pun, kebajikan rakyat di waktu serangan Covid-19 ini paling utama dan khabar penambahbaikan ini bakal merupakan berita baik pada rakyat dan bukti betapa perbincangan dan penyampaian mesej secara berhemah, beradab dan mengikut saluran mampu membuahkan hasil,” ujarnya. MG

Leave a Reply