Pemandu lari tinggal kelindan tersepit dalam lori

Gambar Hiasan

 

Kota Bharu: Seorang kelindan warga Myanmar nyaris maut apabila lori satu tan membawa muatan besi buruk terjunam ke dalam anak sungai di bawah jambatan Kampung Banggol Kekwat, Kok Lanas, malam tadi.

Lebih malang, pemandu lori berkenaan yang tidak cedera, bertindak melarikan diri selepas kejadian itu dan identitinya sedang dikenal pasti.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ketereh, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 8.15 malam.

Katanya, seramai 12 anggota bomba dengan dua jentera digerakkan ke lokasi dan sebaik tiba, pihaknya mendapati terdapat satu mangsa tersepit di bahagian tempat duduk penumpang lori.

“Bomba mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan hidrolik cutter.

“Mangsa berusia 29 tahun parah di bahagian kepala sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam ini.

Operasi berkenaan diketuai, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Zawawi Yusoff.

Fakaruddin berkata, mangsa mendakwa dia bersama seorang rakan iaitu pemandu lori sebelum kemalangan, tetapi sebaik lori terjunam, pemandu lori yang tidak cedera bertindak melarikan diri.

Beliau berkata, setakat ini identiti pemandu lori belum dikenal pasti.

“Berdasarkan pemeriksaan bomba, memang terdapat ruang untuk meloloskan diri di bahagian tempat duduk pemandu.

“Kami tetap buat pemeriksaan rapi ke atas lori remuk di dalam anak sungai di bawah jambatan itu walaupun keadaan agak gelap,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker