Trending di Twitter, Adham Baba, Rina Harun Kini Bersaing

Nama dua menteri dari kerajaan Perikatan Nasional (PN), Dr Adham Baba dan Rina Harun tiba-tiba menjadi sohor kini di media sosial khususnya di Twitter.

Bagaimanapun nama mereka menjadi trending atas sebab yang berbeza. Adham yang merupakan Menteri Kesihatan menerima kritikan, sindiran dan hasut maya atas peraturan baru berkaitan kuarantin seperti yang dilaporkan media sejak semalam.

Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula menerima pujian ramai kerana penampilan barunya yang semakin langsing berbanding sebelum ini.



Rata-rata warganet seperti tidak percaya dengan perubahan penampilan fizikal ahli parlimen Titiwangsa itu. Tidak kurang juga yang menjadikan menteri dari Bersatu itu sebagai inspirasi untuk mencapai berat badan idaman masing-masing.

Salah seorang pengguna Twitter dengan nama @reja92 berkata: “Inspired by Rina Harun. If she could do it, I should be able to” (“Dapat inspirasi daripada Rina Harun. Jika dia boleh buat, saya pun boleh juga).

Meskipun terdapat pengguna yang tidak bersetuju dengan tindakan Rina meninggalkan Pakatan Harapan (PH) serta kredibilitinya dalam kementerian yang dipimpin, pengguna seperti @iam_ein turut memuji penampilan itu.

“Tidak pernah suka dengan Rina Harun dan pengkhianatannya terhadap kerajaan terdahulu tapi yang ini (penampilan) saya suka.



“Dapat rasakan aura daripada penampilan barunya,” katanya sambil membuat perbandingan penampilan ketua Wanita Bersatu ketika berada dalam kerajaan PH dan PN.

Tak puas hati, sindiran

Pengguna @syafiqunzir pula berkata; “Ketepikan politik, sila kongsikan petua dan rutin (kurus) sis Rina Harun.” (Politics aside, drop your tips and routine sis Rina Harun).

Namun, ada juga yang mengingatkan supaya Rina tidak melupakan kredibiliti ketika memimpin kementerian yang sering dipersoalkan.



Sementara itu Adham pula dihujani kritikan dengan tanda pagar #AdhamBabaLetakJawatan selepas membenarkan perintah tempoh kuarantin yang singkat untuk menteri berbanding rakyat biasa.

Pengguna Twitter @Syazwaniieee berkata: “Sebab dia menteri.. kuarantin 3 hari.. Rakyat kau suruh 10 hari. Kes naik kau salahkan rakyat. Ya semua salah rakyat. Kalian sahaja yang betul.”

 

Pengguna @hfz_lo pula meluahkan rasa tidak puas hatinya berikutan peraturan terbaru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang disifatkan berat sebelah.



“@DrAdhamBaba tolong baca elok-elok suara rakyat ni. #AdhamBabaLetakJawatan dah jadi trending kan. So dengan segala hormatnya sila letak jawatanlah ye.

“SOP double standard menunjukkan betapa kerajaan sebenarnya memperlekeh rakyat Malaysia,” katanya.

Seorang lagi pengguna Twitter yang tidak berpuas hati ialah @shaunwen01 yang meluahkan perkara yang sama yang disertakan dengan sindiran: “Semua orang adalah sama, cuma ada sesetengah yang lebih daripada yang lain.” (Everyone is equal, just some people are more equal than others.) #AdhamBabaLetakJawatan.

Adham semalam telah mengeluarkan perintah melonggarkan peraturan kuarantin kepada rakan-rakan anggota kabinet yang melakukan perjalanan rasmi ke luar negara.



Sebelum ini tempoh kuarantin wajib bagi sesiapa yang baru pulang dari luar negara ialah 10 hari. Bagaimanapun melalui kelonggaran yang diberi tempoh itu dipendekkan kepada hanya tiga hari.

Untuk rekod secara kebetulan pengumuman Adham itu dibuat tiga hari selepas Perdana Menteri Muhyiddin kembali daripada lawatan rasmi ke Indonesia.

Menteri Luar Hishammuddin Hussein pula ketika ini sedang melakukan kunjunga rasmi ke Emiriah Arab Bersatu dan dijadual kembali tidak lama lagi.

Perintah yang dinamakan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 dalam Warta Persekutuan berkuat kuasa hari ini. Ia turut dikritik oleh ahli parlimen pembangkang.



Setakat berita ini ditulis tanda pagar #AdhamBabaLetakJawatan dan Rina Harun saling bertukar-tukar kedudukan untuk tempat pertama sohor kini di Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker