Strain virus COVID-19 berbeza di Sarawak
Analisis penjujukan genom COVID-19 menunjukkan varian yang menjangkiti rakyat Sarawak kini berbeza dengan yang dikesan pada Mac hingga April tahun lalu, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Jangkitan awal adalah dari strain Wuhan tetapi apabila Kluster Stutong dan Kluster Keranji Tabuan dikesan bulan lalu, analisis penjujukan genom yang dilakukan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menunjukkan strain baharu sama seperti yang ada di Indonesia dan United Kingdom (UK).
Bagi Kluster Pasai yang merebak secara meluas di banyak bahagian Sarawak, strain itu berasal dari Semenanjung dan sedikit UK.
Bagaimanapun, katanya, strain UK bukan dari jenis B117 yang sangat cepat merebak daripada virus COVID-19.
“Ia bukan mutasi dari strain UK. Ia virus pemutasian dan sekarang di UK, mereka bercakap mengenai strain Afrika,” katanya pada sesi penerangan secara langsung menerusi aplikasi Zoom yang dihoskan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting Ing Horh di laman Facebooknya.
Sesi itu turut disertai Ketua Unit Penyakit Berjangkit Hospital Umum Sarawak (HUS), Dr Chua Hock Hin dan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (PJKK) polis, Deputi Superintendan Ariffin Bahar yang menyentuh mengenai situasi COVID-19 di Sarawak termasuk Sibu.
Kui Hian berkata, pihaknya masih belum mengetahui akibat klinikal varian baharu ini.
“Itu mungkin menjelaskan mengapa di Sarawak kita perhatikan 40 peratus daripada mereka yang dijangkiti menunjukkan gejala sedangkan di seluruh dunia hanya 20 peratus mempunyai gejala.
“Kami memerlukan saintis, universiti dan pakar penyakit berjangkit untuk membuat kajian cara apa yang kami berbeza,” katanya.
Sementara itu, Dr Hock Hin yang ditanya apakah vaksin akan berfungsi pada strain bermutasi, berdasarkan laporan berita bahawa vaksin AstraZeneca tidak berkesan terhadap strain Afrika Selatan, beliau berkata, pihaknya memerlukan lebih banyak kajian klinikal untuk benar-benar memahami semua perkara ini.
“Hanya selepas vaksin itu dilancarkan, kita dapat melihat kesan sebenar dan jika ia benar-benar berfungsi atau tidak,” katanya.
Menjawab pertanyaan lain, Dr Hock Hin menolak tuduhan kerajaan menggunakan rakyat di Belaga sebagai subjek eksperimen untuk latihan penghantaran vaksin Comirnaty Pfizer dan BioNTech ke daerah itu yang diadakan pada 29 Januari lalu.
Beliau berkata, latihan penghantaran vaksin itu bertujuan menilai keupayaan pengekalan suhu -75°C vaksin Comirnaty sepanjang rantaian penghantaran iaitu dari pihak pengilang hingga sampai ke fasiliti perubatan dipilih.
Ditanya sama ada vaksin itu selamat untuk manusia, beliau berkata tidak apa perlu ditakuti kecuali mereka yang disuntik akan mengalami beberapa kesan sampingan seperti sakit kepala atau demam, tetapi akan hilang dalam tempoh tertentu. BERNAMA
KKM pantau perkembangan strain virus UK B117