Nurul Hidayah cari peniaga tular, mahu tolong bayar kompaun RM1,000

PETALING JAYA, 9 Feb ― Insiden seorang peniaga yang dikompaun pihak polis kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat perhatian Datuk Nurul Hidayah.
Nurul yang juga anak kepada Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa simpati terhadap peniaga terbabit yang dikompaun ketika membuat penghantaran makanan kepada pelanggan.
Memahami kesukaran dihadapi, Nurul tampil di media sosial mencari peniaga terbabit bagi menghulurkan bantuan.
“Siapa tahu macam mana nak hubungi orang yang kena saman itu? Saya nak bantu bayar,” katanya.
Nurul berkata demikian menerusi laman sosial Instagram sambil turut memuat naik foto surat saman dipercayai milik peniaga terbabit.
Sebelum ini, tular di media sosial kisah seorang peniaga dikompaun polis kerana tidak mempunyai permit untuk membuat penghantaran makanan.
Rata-rata orang ramai meluahkan rasa simpati memandangkan peniaga itu bukan sahaja dikompaun RM1,000 malah, gagal membuat penghantaran makanan kepada pelanggan.
Berdasarkan peraturan dikeluarkan pihak berkuasa, mana-mana individu yang ingin membuat penghantaran barangan atau makanan perlu mempunyai surat kebenaran daripada polis.
Gagal berbuat demikian, individu terbabit berdepan tindakan tegas termasuk kompaun sebanyak RM1,000.