Durian Hernan masuk pasaran Jepun


Pengeksport produk-produk berkaitan durian, Hernan Corporation Sdn Bhd, telah membuat kemunculan kali pertama di Jepun apabila durian bekunya yang merangkumi variasi Musang King dan D101 tiba di Pelabuhan Tokyo pada pertengahan Januari lepas.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), kejayaan ini dicatatkan selepas syarikat itu memeterai perjanjian eksport melalui mesyuarat perniagaan maya yang dianjurkan MATRADE pada akhir tahun lepas.

“Ini merupakan penghantaran pertama syarikat itu ke pasaran Jepun selepas cuba meneroka pasaran berkenaan selama beberapa tahun sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Produk durian itu akan diedarkan ke pasar raya tempatan, kedai runcit khusus, pengusaha dalam talian, restoran dan lain-lain.

“Sebagai permulaan, produk ini akan tersedia di bandar-bandar utama di Jepun seperti Tokyo, Nagoya dan Osaka,” katanya.

Jepun, sebagai ekonomi ketiga terbesar di dunia oleh keluaran dalam negara kasar nominal dan keempat terbesar dengan pariti kuasa beli, menawarkan bidang peluang yang menarik, yang boleh diterokai oleh syarikat Malaysia.

Pasaran makanan dan minuman Jepun sahaja bernilai lebih daripada US$230 bilion (US$1=RM4.05) dan peluang yang ada juga termasuk produk dan perkhidmatan berkaitan Halal.

Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Tokyo, Niqman Rafaee M Sahar berkata Malaysia menawarkan pelbagai produk berkualiti yang mematuhi piawaian tinggi serta peraturan kemasukan pasaran yang ketat di Jepun.

“Walaupun produk berkaitan durian dianggap masih baharu kepada pengguna tempatan dan lebih banyak promosi perlu dibuat bagi mendidik pasaran domestik, permintaan mencerminkan sambutan positif dengan pertanyaan yang semakin meningkat dari kedai dan restoran khusus Asia,” katanya.

Beliau berkata mempunyai rakan kongsi dan pengimport tempatan yang baik adalah penting untuk menyokong dan membantu proses pendaftaran termasuk pengedaran produk, promosi serta rangkaian di pasaran tempatan.

“Syarikat Malaysia juga digalakkan untuk memberi tumpuan kepada industri e-dagang yang berkembang pesat di Jepun.

“Dengan persekitaran pandemik hari ini, jualan melalui platform dalam talian telah berkembang kepada kadar dua digit dan lebih banyak peluang perniagaan boleh diterokai dengan memanfaatkan pasaran e-dagang yang bernilai US$150 bilion ini,” katanya lagi.

Tahun lepas, Jepun kekal sebagai rakan dagang keempat terbesar Malaysia untuk tahun keenam berturut-turut, dengan jumlah perdagangan mencecah RM122.73 bilion.

Eksport Malaysia ke Jepun melebihi jumlah import dari Jepun sebanyak RM650 juta.

Pada masa ini, produk Hernan Corp telah memasuki lebih daripada 12 negara seperti Australia, China, Kesatuan Eropah, Hong Kong, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat. BERNAMA

Leave a Reply