Berdosa jual produk mudaratkan pengguna

Mohamad Muhaimin Mohamad Zaki

LAMBAKAN produk berasaskan kesihatan dan kecantikan dijual di pasaran sekarang amat membimbangkan.

Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat bahan terlarang dan berbahaya kepada manusia dalam produk terbabit, contohnya racun berjadual seperti merkuri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan, notifikasi produk berkenaan sudah dibatalkan dan tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM juga sudah menggesa orang ramai mengelak daripada membeli serta menggunakan produk kosmetik seumpama itu.

Lebih mengejutkan, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader mendedahkan, pihaknya menerima 500 aduan mengenai penjualan dan penggunaan produk mengandungi bahan kimia terbabit di pasaran.

Selain merosakkan kesihatan, kesan penggunaan produk itu juga boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf serta mengganggu perkembangan otak kanak-kanak kecil atau belum dilahirkan.

Selain itu, ia menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Walaupun perkara itu kerap dilaporkan, mengapakah produk terbabit masih dijual secara berleluasa di pasaran dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat?

Antara alasan diberikan adalah ingin segera kelihatan cantik, harga murah serta mendapat kesembuhan segera tanpa merujuk pegawai perubatan bertauliah.

Malah, terdapat pihak menggunakan jenama mengandungi unsur agama seperti makanan sunah dan air penawar bagi mengaburi mata masyarakat.

Hakikatnya, produk itu mengandungi bahan berbahaya dan terlarang.

Firman Allah SWT dalam Surah al-An’am, ayat 112 yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan, manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya.”

Melalui ayat itu, pada asasnya ia menceritakan dua jenis musuh golongan nabi yang sentiasa wujud bagi mengganggu gugat serta memadamkan cahaya Islam iaitu syaitan manusia dan syaitan jin.

Kedua-duanya mempunyai kriteria sama iaitu penipu yang bermulut manis.

Matlamat mereka hanya untuk melariskan produk jualan tanpa memikirkan implikasi buruk yang bakal dialami pengguna.

Penulis ingin berkongsi nukilan pendakwah, Ustaz Abdullah Bukhairi Abdul Rahim Al-Hafiz yang menyatakan, pesakit yang buntu akhirnya terpedaya dengan kalam manis beracun si penjual ubat.

Lalu pesakit berhabisan harta membeli ubat yang bukan ubat untuk sakit mereka. Adakah mereka (penjual ubat) ingat tindakan itu tiada audit dosa-pahala dan syurga-neraka di sisi Allah?

Beliau sendiri yang mempunyai pengalaman mengamalkan produk tidak diiktiraf yang akhirnya membawa mudarat kepada diri wajar diambil iktibar.

Oleh itu, berhati-hati dan pastikan anda mengkaji terlebih dahulu latar belakang produk yang mahu digunakan.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker