Buku Tommy ‘membingungkan’, tetapi tak perlu sampai nak haramkan – Anwar
Kandungan buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ kebanyakannya penuh dengan sangkaan, berlandaskan teori konspirasi, penghinaan kepada kumpulan tertentu, dan membingungkan.
Itu antara tanggapan Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap karya terbaharu bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, yang banyak menimbulkan kontroversi, laporan polis, serta saman sivil.
Namun, Ahli Parlimen Port Dickson itu berpendapat, biarpun kandungannya tidak berlandaskan fakta sebenar, tetapi ia tidak bermaksud perlu sampai ke tahap pembulian dan pengharaman buku tersebut.
“Saya berfikiran bahawa Tommy mesti dibenarkan untuk mempraktik kebebasan bersuara selaras dengan Perlembagaan serta tertakluk pada undang-undang yang memantau fitnah, serta yang berbaur hasutan.
“Dalam semangat yang sama juga saya menyatakan ketidaksetujuan dengan pandangan serta kenyataan Tommy,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook beliau, hari ini.
Memetik penegasan Thomas berhubung “ada bukti menunjukkan kudeta (rampasan kuasa) digerakkan (Bekas Perdana Menteri) Tun Abdul Razak”, Anwar berkata, Tun Abdul Razak bukan sahaja diiktiraf sebagai pengagas dalam pembangunan negara, tetapi juga sosok besar yang sangat prihatin terhadap nasib rakyat dan bangsa.
BACA: Nazir Razak sifatkan penulisan Tommy ‘sangkaan semata-mata’
Ujarnya lagi, beliau tidak salahkan Thomas yang cuba mengubah sesuatu tanggapan sejarah, namun penting untuk melihat sejarah berkenaan dalam latar atau konteks yang tepat, berserta analisa baharu yang lebih segar.
Tambah Anwar, Thomas telah menulis bahawa “amat sukar untuk percaya bahawa Tun Abdul Razak tidak bersetuju dengan anak-anak muda dari satu kaum yang bertempik dan mengherdik kaum lain”.
Anwar berkata, petikan itu jelas menunjukkan Thomas hanya mengambil satu sudut pandang dan melihat dari lensa orang lain, sambil mengekalkan emosi yang sama dalam keadaan terbalik.
“Dan kita pun bingung memikirkan apa matlamat yang ingin dicapai dari tanggapan semacam ini. Dan ini terjadi di saat ini di mana kita sedang dikelilingi gejala berita palsu dan teori konspirasi.
“Cakaplah apa pun tentang Tun Razak, tetapi dia juga berhak untuk diadili dan dinilai berdasarkan konteks dan latar masa lalu yang tepat. Tommy tampaknya tidak meletakkan sebarang latar atau konteks untuk ini,” katanya lagi.
Biarpun Thomas menyatakan terdapat bukti untuk tanggapannya itu, Anwar berkata, apa yang disajikan kepada pembaca sebaliknya adalah sangkaan dan teori konspirasi.
Jelasnya lagi, adalah amat tidak bertanggungjawab tanggapan seperti itu datang dari seseorang yang pernah menjawat jawatan tertinggi dalam sistem undang-undang negara.
Selain itu Anwar berpandangan, kenyataan Thomas bahawa peguam-peguam di sektor awam “bersikap tipikal, hanya untuk mendapat gaji tetap dan menunggu pencen selepas bersara”, merupakan penghinaan bukan sahaja kepada Jabatan Peguam Negara, tetapi telah merobek imej serta reputasi keseluruhan penjawat awam di negara ini.
BACA: Buku Tommy Thomas menjurus penghinaan – Takiyuddin
“Tanggapan bahawa para penjawat awam bekerja di sektor awam hanya untuk mendapat gaji tetap dengan harapan akan menerima pencen sesudah bersara adalah tanggapan yang menjijikkan dan langsung tidak berasaskan kritikan yang rasional.
“Di sini juga berlakunya pertembungan antara pengalaman Tommy dan saya dengan sistem ini yang amat memerlukan reformasi yang menyeluruh. Ia adalah sikap prasangka terhadap kaum Melayu kesan hari sikap perkauman yang bertahun-tahun lamanya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau juga khuatir dengan satu bab buku berkenaan tentang perkauman, dan hanya menggambarkan bahawa gejala perkauman hanya menjangkiti pemimpin-pemimpin Melayu.
“Tanggapan Tommy itu tidak menyumbang pada wacana terkait perkauman di Malaysia, yang sememangnya telah menjadi budaya bertahun-tahun lamanya kesan dari kebijakan kerajaan.
“Kita sebaliknya mesti menganalisa secara kritikal isu tersebut, dan menonjolkan sikap yang benar-benar mahu memadamkan luka lama dan bina semula sebuah Malaysia yang bersatu padu dan saksama,” katanya lagi.
Biarpun kandungan buku itu kebanyakan bersifat prejudis, Anwar berkata, beliau tegas menentang segala bentuk pembulian atau pengharaman terhadap buku tersebut.
Jelasnya lagi, Thomas mesti dibenarkan untuk mempraktik kebebasan bersuara selaras dengan Perlembagaan serta tertakluk pada undang-undang yang memantau fitnah, serta yang berbaur hasutan.
“Harus saya nyatakan di sini bahawa suara Tommy juga sama penting dalam usaha kita menghidup dan meraikan kemajmukan di negara ini di mana suara dari kaum lain juga mesti diangkat dan diraikan.
“Malangnya, ‘Justice in the Wilderness’ adalah buku yang sarat dengan stereotaip, dan kita harus menelaahnya dengan prinsip skeptisisme yang tinggi,” katanya lagi.
Atas sebab itu, Anwar berkata pengharaman bukan jawapannya, tetapi lebih baik didebatkan kandungan buku tersebut dengan budaya kritikal dan wacana terbuka.-Awani
You must be logged in to post a comment.