Miskin bandar lagi susah


Isu miskin bandar sudah lama diperdebatkan. Malah baru-baru ini, kita dikejutkan dengan data yang menunjukkan ada kira-kira 30,000 miskin bandar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja.

Apa lagi yang boleh dilakukan bagi memastikan isu miskin bandar ini dapat diselesaikan. Adakah hanya dengan pemberian bantuan demi bantuan?

Ikuti wawancara Profesor di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia PROF DR ZAID AHMAD bersama Pengarang Berita NAZARALI SAERIL bagi mengulas isu ini.

Siapa miskin bandar sebenarnya?

Berasaskan had pendapatan kemiskinan (PGK) yang terkini, kadarnya adalah RM2,208 berbanding RM980 yang digunakan sejak 2005.

Banyak isu yang perlu diberikan perhatian apabila memperkatakan persoalan kemiskinan ini.

Pengukurannya harus tidak terhad kepada kuasa beli atau keperluan asas bakul makanan semata-mata.

Ini kerana kehidupan itu membabitkan ekosistem pelbagai dimensi yang berkaitan kualiti hidup, pendidikan berkualiti, perumahan, kesihatan, akses maklumat, rekreasi dan kesejahteraan hidup keseluruhannya.

Dalam konteks ini, mereka yang berada dalam kelompok rentan (vulnerable) atau mudah miskin juga perlu dimasukkan.

Dalam erti kata lain, golongan ini walaupun memiliki kemampuan untuk hidup sederhana, tetapi mereka tidak memiliki simpanan kecemasan yang secukupnya jika berlaku perkara luar jangka.

Mereka ini juga kelompok yang berisiko tinggi. Hal ini dapat dikesan sewaktu pandemik ini yang mana ramai yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan meskipun mereka sebelum ini digolongkan sebagai kelas menengah.

Di bandar, golongan rentan ini besar kerana ia merangkumi kumpulan B40 dan sebahagian M40.

Miskin bandar dan miskin pedalaman/desa. Apa bezanya?

Isu kemiskinan sudah lama diperdebat. Sama ada bandar atau desa, kemiskinan adalah kemiskinan.

Cuma mungkin kadarnya daripada segi pengukuran itu berbeza atas sebab berbezanya keperluan seperti harga barang dan kos sara hidup.

Namun demikian, daripada segi kesan sosial, kemiskinan bandar lebih ketara kerana ekosistem kehidupan yang berbeza.

Di bandar, keperluan daripada segi kewangan untuk meneruskan kehidupan itu lebih mencabar berbanding di desa atas faktor sumber yang terhad dan semuanya perlukan wang.

Miskin bandar turut berpunca daripada penghijrahan golongan muda dari desa/pedalaman yang tiada pekerjaan berpendapatan tinggi ke bandar?

Penghijrahan golongan muda dari desa ke bandar adalah fenomena yang pesat berlaku khususnya pada tiga hingga empat dekad mutakhir.

Namun demikian, kebelakangan ini, kadar penghijrahan agak sedikit berkurangan di mana terdapatnya trend penghijrahan dari bandar ke luar bandar terutamanya dalam kalangan pesara.

Berasaskan data kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, kadar migrasi dari bandar ke luar bandar meningkat kepada 19.5 peratus pada 2018 berbanding 4.2 peratus pada 2016.

Sementara itu, migrasi dari luar bandar ke bandar pada 2018 pula berkadar 4.8 peratus berbanding 15.2 peratus pada 2016.

Secara am, trend ini memberikan gambaran agak positif.

Namun demikian apa yang berlaku ini adalah hasil daripada perancangan masa lalu yang bersifat bias-bandar (urban bias).

Di Malaysia, berasaskan kajian Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), ia merumuskan, lebih daripada dua pertiga rakyat Malaysia kini tinggal di bandar.

Ini bermakna, majoriti penduduk Malaysia pada masa kini adalah penghuni bandar.

Sejak merdeka, kemunculan kawasan pertumbuhan baharu berlaku dengan pesat seiring dengan proses pembandaran atau urbanisasi.

Keadaan ini menarik minat penghijrahan dalam kalangan orang muda.

Mereka menaruh harapan tinggi mencapai cita-cita dan impian mereka apabila berada di bandar kerana berpendapat peluang lebih besar atau banyak di bandar.

Apabila tiba di bandar, mereka baru sedar bahawa keadaan tidaklah seperti yang dibayangkan.

Ramai yang kecundang dalam persaingan kehidupan di bandar dan melakukan berbagai pekerjaan untuk menampung kehidupan.

Gaji RM4,000, anak lima tetapi tergolong dalam miskin bandar?

Pendapatan isi rumah memang boleh dijadikan panduan dalam menentukan had kecukupan bagi sesuatu keluarga di bandar.

Namun demikian, ia masih bersifat subjektif kerana ada golongan yang saya sebutkan sebagai rentan yang mungkin pendapatannya lebih daripada RM4,000.

Mereka ini adalah golongan yang mudah terkesan dengan sebarang perubahan sama ada kenaikan kos harga barang mahupun kos perkhidmatan.

Ini kerana pendapatan mereka hanya mencukupi untuk sara hidup dan tidak mempunyai tabungan untuk menampung sebarang kenaikan kos atau keperluan kecemasan.

Bagi golongan ini, sekiranya ada kenaikan kos barangan, perkhidmatan atau pengangkutan, maka mereka perlu mengurangkan perbelanjaan di tempat lain.

Mereka ini bagi saya tergolong dalam kalangan miskin yang relatif.

Kajian menunjukkan di Kuala Lumpur, lebih 25,000 penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) gagal menjelaskan tunggakan sewa RM124 sebulan dengan kos keseluruhan lebih RM55 juta. Hutang itu pula antara setahun hingga 10 tahun?

Ini adalah permasalahan yang juga sudah lama diperbahaskan.

Ia perlukan kajian yang lebih menyeluruh bagi mengenal pasti permasalahan yang sebenar dan jalan penyelesaian.

Pada hemat saya, kegagalan menjelaskan sewa RM124 sebulan ini berkait juga dengan sikap dan perangai seseorang.

Saya sebutkan di atas betapa pentingnya sikap yang betul dan meletakkan keutamaan yang betul dalam melakukan sesuatu perkara.

Jika bayaran sewa itu tidak ada dalam senarai keutamaan, maka bukan RM124, jika dikurangkan kepada RM100 pun, akan ada lagi yang culas membayar.

Apa golongan miskin bandar mahukan sebenarnya. Banyak bantuan sudah disalurkan, kelebihan tidak membayar sewa untuk tempoh tertentu dan pelbagai lagi?

Perubahan sikap adalah perkara yang perlu bagi golongan ini. Perubahan sikap atau perangai membabitkan luaran dan dalaman.

Ia memerlukan advokasi, kepemimpinan dan pendidikan awam yang berterusan selain faktor luaran dan persekitaran.

Contoh, menjaga kebersihan persekitaran. Ini perlukan kerjasama dan perkongsian antara pihak berkuasa tempatan dengan masyarakat.

Ini akan menimbulkan rasa kesepunyaan dalam kalangan masyarakat tempatan.

Program atau langkah perlu diambil kerajaan bagi mengurangkan atau menghapuskan miskin bandar?

Perlu dikaji semula trend penghijrahan. Harus ada formula dan mekanisme peringkat nasional untuk menghadkan atau mengurangkan trend penghijrahan ke bandar dengan membuka lebih banyak peluang atau kegiatan ekonomi di desa.

Pada masa sama, tingkatkan akses desa ke bandar bagi membolehkan penduduk desa bekerja di bandar, tetapi tidak perlu berhijrah ke bandar.

Kempen seperti ‘hidup di desa lebih sejahtera’ akan mengubah persepsi dan sudut pandangan masyarakat tentang keindahan desa, damai dan permainya kehidupan desa yang dulunya sering dikaitkan dengan kemunduran dan kemiskinan. HM

Belanjawan 2020 Tak Jaga Kepentingan Rakyat Miskin, Luar Bandar – Ismail Sabri

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker