Belanjawan 2020 Tak Jaga Kepentingan Rakyat Miskin, Luar Bandar – Ismail Sabri

Ismail sabriKetua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Belanjawan 2020 adalah sebuah belanjawan yang hanya menjaga kepentingan pemodal dan kapatalis melebihi daripada menjaga kepentingan rakyat miskin dalam mahupun luar bandar.

Jelas beliau, belanjawan ini juga tidak membentangkan dasar yang jelas bagaimana untuk membantu masyarakat luar bandar terutamanya petani, nelayan, penternak dan sebagainya.

“Bantuan yang disebut dalam bajet adalah elaun seperti elaun nelayan yang dulunya telah disediakan oleh kerajaan yang lalu iaitu Barisan Nasional (BN). Begitu juga dengan penoreh getah bila diberi RM200 musim tengkujuh dan sebagainya juga adalah satu pemberian yang telah diberi oleh kerajaan yang lalu.

“Untuk nelayan… penoreh getah tidak ada satu pun dasar yang jelas yang dapat meningkatkan pendapatan dan juga kehidupan mereka. Dulu untuk pekebun kecil diberi geran percuma untuk tanaman semula tapi kini menjadi pinjaman. Pekebun kelapa sawit terdiri daripada mereka yang agak berusia jadi akhirnya mereka akan hidup dalam hutang selamanya,” ujar beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mengulas lebih lanjut Ismail berkata, kerajaan juga dilihat tidak membuat perancangan berkaitan masalah pembelian sawit.

“Soal kelapa sawit, hari ini kita hadapi masalah kerana Eropah akan memboikot minyak sawit kita dan terbaru India juga akan berbuat demikian atau mengurangkan pembelian.

“Saya tidak nampak ada perancangan daripada kerajaan untuk mengatasinya kalau Eropah dan India akan terus menghentikan pembelian kerana dua negara ini merupakan pembeli terbesar… yang jadi mangsa nanti adalah pekebun kecil dan peneroka Felda,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker