Halatuju Umno Dan Barisan Nasional

 

Semalam dalam satu wawancara terbuka, Annuar Musa berkata dia tidak yakin UMNO boleh menang pilihanraya jika UMNO tidak bekerjasama dengan PPBM.

Annuar berkata, “Sebelum hendak berkhayal, hendak ada calon Perdana Menteri, kena tanya dulu parti (UMNO) boleh menang ke tidak.”

Dan dia berkata lagi, “Tapi saya kena tanya pilihan raya sudah dekat ini kalau tak bersama PN hendak bersama siapa?”
(Rujuk wawancara penuh di FB Sinar Harian)

Saya tidak setuju dengan pemikiran sebegini.

Pemikiran sebegini adalah pemikiran yang lemah, kurang keyakinan dan ‘defeatist’.

Sebagai seorang pemimpin, kita tidak boleh menjadi belum apa-apa sudah hilang semangat dan menyerah kalah.

Isyarat dan pemikiran lemah semangat sebegini bukanlah contoh teladan yang baik kepada pengikut-pengikut kita terutama di kala masa getir.

Sebaliknya kita perlu kuatkan semangat dan jatidiri, dan kita perlu pulihkan kepercayaan dan keyakinan.
Pada hemat saya, Barisan Nasional baru kalah sekali dalam pilihanraya umum, takkan kita hendak terus angkat bendera putih?

Dan daripada menyerah diri, kita perlu cuba merampas semula kubu-kubu kuat kita yang kita kalah dalam PRU-14 yang lepas.

……..

Pemikiran menyerah kalah Annuar di atas juga tidak realistik malah terlalu pesimistik.

Kajian-kajian sentimen politik berubah-ubah mengikut isu semasa.

Semasa PRU-14 rakyat tidak suka kita dan mereka telah undi PH.

Namun kini PH tahu rakyat tidak lagi suka mereka dengan kegagalan pentadbiran mereka selama 22 bulan, dan kerana mereka tidak menunaikan janji-janji pilihanraya.

Sebab itu kini PH takut untuk pergi pilihanraya. Mereka takut untuk berhadapan dengan rakyat.

Semalam pemimpin-pemimpin PH berkata mereka tidak mahu pilihanraya umum diadakan sehingga tahun 2023 tetapi mahu kuasa dikembalikan kepada mereka semula sekarang.

Mereka lupa bahawa mandat yang mereka dapat daripada rakyat semasa PRU-14 telahpun hilang apabila mereka tidak tunai janji mereka kepada rakyat apabila PH menang dalam PRU-14.

PPBM juga berada dalam PH sebelum ini.

Malah mereka yang mengetuai PH sebelum mereka melompat keluar dari gabungan tersebut untuk menyelamatkan diri mereka dan membentuk PN apabila mereka tahu PH telah hilang mandat dan sokongan rakyat.

Namun walaupun telah melompat, mereka-mereka dalam PPBM ini adalah masih orang-orang yang sama.

Iaitu orang-orang yang khianat UMNO dan lompat parti, dan kemudian khianat PH dan jatuhkan kerajaan sendiri.

Bolehkah kita percaya kepada orang-orang ini? Rakyat pun tidak percaya kepada mereka lagi.

Sebab itu mereka (PPBM) takut Parlimen bersidang.

Kini kedua-duanya iaitu PN (terutama PPBM) dan juga PH takut untuk berhadapan dengan rakyat: satu tidak mahu pilihanraya (PH), dan satu lagi tidak mahu Parlimen dibuka (PN).

Mereka tidak yakin rakyat akan sokong mereka.

Malah, mengikut kajian-kajian terkini dari institusi-institusi bebas dari dalam dan luar negeri, sokongan dan keyakinan rakyat kepada mereka adalah rendah.
Pelabur-pelabur asing juga tidak yakin kepada mereka.

Aliran modal negara berada di paras negatif lapan suku berturut-turut sejak PH dan PN memerintah negara.

Jika kita pergi pilihanraya dengan bekerjasama dengan mereka ini, kita pun akan tercalit sama dan akan rugi.

Yang bersungguh-sungguh dan ikhlas mahu menyerahkan kembali mandat kepada rakyat dan Parlimen untuk membuat keputusan pembentukan kerajaan adalah Barisan Nasional.

Barisan Nasional yang tegas mahu pilihanraya diadakan sebaik selepas wabak COVID-19 reda, di saat pemimpin-pemimpin PN dan PH seboleh-bolehnya tidak mahu menyerahkan kembali mandat ke tangan rakyat tidak kira sewaktu COVID ataupun tidak.

Kini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin sedar dia perlu membubarkan Parlimen dan membatalkan darurat sebaik selepas wabak COVID-19 terkawal kerana dia tentunya tahu dia tidak ada cukup sokongan rakyat mahupun majoriti ahli Parlimen untuk terus memegang tampuk pemerintahan.

Jika dia berdegil tidak mahu mengundur diri dan masih mahu memegang kuasa tanpa mandat dan majoriti, lambat laun negara akan menjadi semakin huru hara.

……..

Dalam Barisan Nasional, kita (UMNO) tidak bersendirian, dari dulu kita ada rakan-rakan lain seperti MCA dan MIC yang masih setia bersama.

Kita terima sesiapa yang ikhlas ingin bekerjasama dengan kita terutama PAS, tetapi bukan yang hanya mahu ambil kerusi kita dan suruh kita beri laluan dan jawatan kepada mereka walaupun mereka tiada sokongan seperti PPBM.

Saya pasti PAS pun mempunyai sentimen yang sama terhadap PAN.

Kita perlu kukuhkan Muafakat Nasional.

Namun sekiranya PAS memilih untuk tidak bersama kita tetapi mereka mahu bersama PPBM dalam PN apabila menghadapi pilihanraya umum kelak, apakan daya, itu pilihan mereka.

Walaupun pilihan PAS tersebut bukanlah ideal untuk kita, namun hakikatnya kita tidak tidak boleh memaksa mereka.

PAS juga tidak boleh memaksa kita untuk menerima PPBM.

Sebagaimana juga PPBM tidak boleh memaksa PAS untuk menerima PAN.

Sebelum ini saya telah kata bahawa jika orang-orang PPBM ikhlas mahu bekerjasama dengan UMNO dan serius untuk menyatukan ummah, bubarkan PPBM dan kembali kepada UMNO.

Tidak masuk akal untuk mereka paksa kita bekerjasama dengan mereka tetapi dengan syarat kita kena berikan kerusi-kerusi tradisi kita termasuk kerusi yang mereka khianat dan lompat.

Akar umbi UMNO telah membuat keputusan yang jelas tentang hal ini melalui mesyuarat-mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian di seluruh negara baru-baru ini dengan majoriti dan rata-rata menolak PPBM.

Jika pemimpin-pemimpin kita sebaliknya bersetuju untuk menerima PPBM dan mengorbankan kerusi-kerusi kita untuk memberi laluan kepada mereka (PPBM) yang telah mengkhianati kita sebelum ini, akar umbi kita akan tolak habis-habisan langkah ini dan kita akan kalah pilihanraya terutama di kerusi-kerusi yang kita serah kepada PPBM ini; akar umbi kita tidak akan menyokong atau berkempen untuk mereka.

Sekiranya dipaksakan juga, yang akan menang adalah PH dan kita akan rugi. Kita tidak boleh benarkan perkara ini berlaku.

PH tidak boleh dibenar memerintah semula kerana mereka telah terbukti tidak boleh mentadbir sepertimana juga PPBM.

PPBM telah memegang tampok pemerintahan negara selama 33 bulan sejak PRU-14: 22 bulan dalam PH dan 11 bulan dalam PN.

Selama 33 bulan ini mereka telah gagal untuk mentadbir negara, kesannya kebajikan rakyat semakin tidak terjaga dan semakin buruk.
……..
Sebelum ini juga (dan sebelum Mahathir kata) saya pernah kata untuk menyatupadukan orang-orang Melayu, tidak boleh ada banyak parti Melayu.

Jika ada banyak parti Melayu walaupun dalam satu gabungan ia akan cenderung untuk bertelagah dan berpecah.

UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional adalah platform terbaik untuk menyatupadukan orang-orang Melayu.

Sebelum Langkah Sheraton, penyatuan ummah melalui Muafakat Nasional berjalan dengan baik.

Namun PPBM telah memecahkan momentum ini.

Slogan penyatuan Melayu PPBM melalui Perikatan Nasional hanyalah retorik.

Bagaimanakah mungkin mereka boleh menjaga kepentingan orang-orang Melayu sedangkan pemimpin-pemimpin PPBM lah yang sebelum ini telah mencadangkan ICERD, meratifikasi Statut Rom, dan sebagainya yang melemahkan perjuangan orang-orang Melayu.

Mereka juga telah terlibat dalam kerajaan yang telah membebaskan pembunuh Adib dan penjenayah LTTE dan bekerjasama dengan Tommy Thomas dan menggugurkan kes rasuah Lim Guan Eng.
Jika kita terima mereka kini, apa gerenti yang kita ada yang mereka tidak akan mengkhianati kita lagi?

Orang Melayu perlu bersatupadu. Namun kita juga perlu berhati-hati dengan pengkhianat.

Semasa zaman Rasulullah, kita tidak disuruh bersatu dengan sesiapa sahaja, terutama dengan orang munafik atau murtad.

Sekiranya kita lihat ‘track record’ dan kecenderungan mereka (PPBM), jika pun mereka menang kerusi-kerusi yang kita serah kepada mereka, selepas pilihanraya nanti besar kemungkinan mereka akan lompat kepada PH semula bila ia kena dengan kepentingan diri mereka.

Kita tidak boleh benarkan kita ditipu oleh mereka lagi.

Dan mereka tidak boleh dibenar untuk mengkhianati sesiapa untuk kepentingan diri mereka sendiri lagi buat kali yang ketiga.

……..

Saya lihat Barisan Nasional kini mempunyai kelebihan dari segi sokongan rakyat berbanding PH dan PN.

Kini dalam zaman PH dan PN, kehidupan rakyat semakin buruk akibat pentadbiran mereka yang tidak cekap berbanding pentadbiran BN sebelumnya, walaupun kerajaan BN sebelum ini juga pernah melalui pelbagai krisis sejak Merdeka.

Hakikatnya, daripada tiga gabungan ini, di saat rakyat tertekan dengan pelbagai cabaran kehidupan akibat ketidakcekapan pentadbiran kerajaan PH dan PN bermula selepas PRU-14 sehinggalah krisis COVID-19, BN kini menjadi parti yang membawa harapan rakyat untuk memperbetulkan keadaan dan mewujudkan kembalil kestabilan, terutama kestabilan politik dan ekonomi.

Sekurang-kurangnya, daripada parti yang dahulu ditolak oleh rakyat semasa PRU-14 akibat tohmahan dan fitnah, BN kini telah menjadi parti yang paling kurang dibenci berbanding PH dan PN.

Malah imej BN semakin pulih di kalangan rakyat dan dibuktikan melalui keputusan-keputusan pilihanraya-pilihanraya kecil baru-baru ini.

Dan BN kini dilihat membawa isu-isu yang menjaga kepentingan rakyat seperti isu ekonomi, kebajikan, KWSP, moratorium dan sebagainya. Ini adalah suatu perkembangan yang baik.

Kita perlu teruskan usaha-usaha ini.

Tidak mustahil selepas ini kita boleh kembali menjadi parti yang paling popular di mata rakyat.

Sebab itu kita BN dan UMNO perlu gagahkan semangat dan terus berjuang dengan berprinsip untuk membawa aspirasi dan kepentingan rakyat.

Rakyat meletakkan harapan yang tinggi kepada kita untuk masa depan mereka yang lebih cerah.

Jika kita istiqamah, cekal dan sabar, saya yakin Barisan Nasional akan kembali menjadi kuat untuk rakyat dan negara.

InshaAllah kita akan berjaya.

ISHAM JALIL
6 Februari 2021

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker