Mahathir Sangkal Cemuhan kata Prestasi Kerajaan PH Pimpinannya ‘Amat baik’

 

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin beliau mencapai banyak perkara sungguhpun dicemuh oleh pembangkang sebagai kerajaan bukan Melayu.

Beliau turut menempelak dakwaan Tommy Thomas bahawa beliau gagal menguruskan kerajaan PH dengan ketegasan sama yang dipamerkan beliau semasa menjadi perdana menteri keempat selama 22 tahun.

Mahathir berkata anggapan bekas peguam negara itu tersasar dan PH sebenarnya mencapai banyak perkara, sungguhpun tidak memperolehi majoriti 2/3 pada pilihan raya umum 2019.

“Hanya pembangkang sahaja mengkritik bahawa kerajaan (PH) bukan Melayu, selain daripada itu prestasi kerajaan amat baik,” kata Mahathir.

Mahathir berkata selama 22 tahun menjadi PM bawah Barisan Nasional, “saya boleh bekerja dengan penuh keyakinan, kerana mempunyai sokongan 2/3 Ahli Parlimen.”

Mahathir berkata walaupun tidak mempunyai kelebihan itu apabila kembali menjadi perdana menteri pada 2018 bawah teraju PH, parti komponen PH atau parti yang mesra gabungan itu tidak menghalang kerja beliau.

“Tanpa persetujuan mereka, saya tidak dapat berfungsi, namun mereka tidak menjadi halangan kepada saya,” kata Mahathir.

Dalam buku kontrovesinya “My Story: Justice In Wilderness”, Thomas mendakwa Mahathir gagal menguruskan kerajaan PH dengan ketegasan yang dipamerkan semasa menerajui negara dari 1981 sehingga 2003.

Namun pandangan itu ditolak Mahathir yang mengupas kejayaan kerajaan pimpinan beliau selama 22 bulan sebelum dijatuhkan oleh Muhyiddin Yassin dan penyokongnya yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

“Saya dapat melakukan banyak benda. Contohnya, saya mampu menubuhkan kerajaan tanpa berasaskan prestasi parti komponen PH,” kata Mahathir.

“Walaupun DAP mempunyai 42 Ahli Parlimen dan PPBM cuma ada 13, dalam Jemaah Menteri (saya) mereka masing-masing mempunyai enam menteri. Jadi ini mencerminkan perwakilan sama rata dalam Jemaah Menteri.

“Seterusnya saya berjaya memperolehi persetujuan Jemaah Menteri ke atas sebahagian besar tindakan yang perlu saya lakukan. Saya dapat tangani krisis kewangan, hutang (negara), menyingkirkan ahli politik yang menerajui syarikat dan institusi (berkaitan kerajaan),” tambah beliau.

Mahathir berkata beliau juga memastikan pegawai kanan awam yang terbabit dalam rasuah berundur.

“Saya dapat melakukan penyesuaian yang perlu untuk memastikan saya mempunyai sokongan sebuah pentadbiran yang mantap,” kata Mahathir.

Mahathir menyifatkan prestasi kerajaan PH pimpinan beliau Muhyiddin jauh lebih baik berbanding pentadbiran Muhyiddin yang disifatkannya begitu rapuh.

Beliau berkata PH tidak mempunyai masalah kerapuhan sedemikian untuk mentadbir negara, sehinggalah Muhyiddin bertindak mengeluarkan PPBM dari PH, bersama Mohamed Azmin Ali dan penyokongnya dalam PKR. FMT

Leave a Reply