Tommy Thomas Dedahkan Mahathir Lantik Ketua Hakim Negara Tidak Ikut Proses Ditetapkan
Agak mengejutkan bila, di dalam keghairahan beliau bercerita di dalam buku beliau, Tan Sri Tommy Thomas telah mendedahkan bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar di Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak yang dibuat pada era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri seolah-olah tidak melalui segala proses perundangan yang ditetapkan.
Pada muka surat 342-343 buku beliau, Tan Sri Tommy Thomas mendedahkan bahawa, dalam satu pertemuan, pelantikan keempat-empat mereka adalah diputuskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad atas cadangan beliau yang “arif dengan semua hakim Mahkamah Persekutuan”.
Selanjutnya, Tan Sri Tommy Thomas telah menulis:
“Adalah dipersetujui bahawa hanya seorang calon yang memenuhi ujian (untuk menjadi Ketua Hakim Negara): Hakim Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat. Saya berkongsi dengan Perdana Menteri pengalaman saya muncul di hadapan beliau sebagai seorang Pesuruhjaya Kehakiman, Hakim Mahkamah Tinggi, dan kemudiannya, di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Hakim Rohana Yusuf adalah calon pilihan untuk menjadi Presiden Mahkamah Rayuan.
Hakim Dato’ Abang Iskandar Abang Hashim adalah sesatunya nama untuk jawatan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak. Hakim Tan Sri Dato’ Sri Azahar Mohamed dipilih sebagai Hakim Besar di Malaya. Tun gembira bahawa kedua-dua pelantikan paling senior membabitkan golongan wanita, sambil secara jenaka menyebut PAS pun tidak akan mampu membantah.”
Tulis Tan Sri Tommy Thomas lagi:
“Saya membuat kunjungan hormat ke atas Ketua Hakim Negara Tengku Maimun sejurus selepas perlantikan beliau. Beliau menyambut saya dengan girang dalam bilik luas beliau di Istana Keadilan di Putrajaya.
Saya menunjukkan nama-nama pilihan Perdana Menteri untuk jawatan-jawatan Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar di Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak.
Beliau gembira dengan kesemua mereka, menyebut bahawa beliau boleh bekerja dengan mereka, dan bahawa mereka akan bekerja bersama sebagai satu team yang efektif.”
Perhatikanlah betapa langsung tidak ada sebarang rujukan dibuat oleh Tan Sri Tommy Thomas ke atas peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) di dalam proses pelantikan hakim Mahkamah Atasan, termasuklah Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak ini sedangkan sejak Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) dikuatkuasakan pada 2 Februari 2009, JAC ini diberikan peranan besar di dalam proses pelantikan hakim Mahkamah Atasan.
Lihatlah betapa jelas dinyatakan di dalam Artikel 21 (1) (a) Akta 695 ini bahawa fungsi JAC adalah “untuk memilih orang berkelayakan yang sesuai yang wajar dilantik sebagai hakim mahkamah atasan untuk pertimbangan Perdana Menteri” manakala Artikel 22 (1) (b) pula menghendaki JAC “memilih tidak kurang daripada dua orang bagi setiap kekosongan jawatan jika kekosongan jawatan itu adalah bagi hakim mahkamah atasan selain Mahkamah Tinggi.”
Kepada saya, melalui cara Tan Sri Tommy Thomas bercerita ini beliau seolah-olah mahu menunjukkan bahawa beliaulah yang sebenarnya berperanan untuk menaikkan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar di Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak yang ada sekarang.
Malangnya, di dalam keghairahan beliau mahu menonjolkan kehebatan diri beliau ini beliau mungkin dengan secara tidak sengaja telah mendedahkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang Perdana Menteri yang tidak menghormati proses perundangan yang ditetapkan di dalam membuat pelantikan tersebut.
(Begitupun, pada hemat saya, pastilah prosedur rasmi di dalam membuat pelantikan ini diikuti kemudiannya hanyasanya ia mungkin bersifat sebagai rubber-stamp sahaja tatkala keputusan sebenar telah dibuat, tetapi kalau kita hanya membaca buku Tan Sri Tommy Thomas ini pastilah gambaran sebaliknya akan kelihatan)
Dr. Kamarul Yusoff
Beza Tommy Thomas dengan Peguam Negara sekarang.