Perginya ‘Artini’ seorang jururawat cekal, dedikasi

 

Tanah perkuburan sememangnya sudah menyaksikan banyak situasi muram dan hari ini, Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri menyaksikan satu lagi situasi seumpamanya, dengan kisah latar tersendiri.

Lima minit sebelum pukul tiga petang, van jenazah yang tertera perkataan ‘Hospital Sungai Buloh’ memasuki perkarangan tanah perkuburan itu, sebelum diparkir tepat di sebelah kubur yang baru digali, dengan beberapa individu memakai pakaian pelindung diri.

“Itu Abah! Abah! Abah!” jerit sekumpulan kanak-kanak, berdiri di dekat pagar perkuburan kira-kira 150 meter.

Salah seorang lelaki berpakaian putih mengangkat tangannya, dan melambaikan tangannya kepada tiga anak lelaki dan seorang anak perempuannya. Dia kemudian berpaling ke belakang untuk melihat ke dalam van jenazah.

Di dalamnya ialah jenazah Artini Dzolkarnaini, isterinya yang berusia 41 tahun, dan ibu kepada lima orang anak mereka.

Namun, anak-anaknya hanya dapat menghantar jenazah ibu mereka sampai ke pagar itu. Artini didiagnosis menghidap Covid-19 pada pertengahan bulan lalu, sebelum dia mengalami komplikasi awal pagi hari ini.

Dari jauh, anak-anak itu menyaksikan jenazah ibu tersayang dibawa oleh lelaki berpakaian putih ke tempat persemadiannya. Tangisan mereka memecah keheningan yang menghurung perkuburan.

Ini adalah kisah mengenai Artini, seorang ketua jururawat Hospital UiTM yang terkorban akibat wabak tersebut.

Al-Fatihah: Jururawat Hamil 30 Minggu Meninggal Dunia Akibat Covid-19, Alhamdulillah Bayi Berjaya Diselamatkan

Artini, yang mengkhususkan diri dalam rawatan koronari, diuji positif terhadap koronavirus semasa menjalani pemeriksaan saringan untuk kakitangan hospital pada minggu kedua Januari.

Menurut rakan-rakannya di tanah perkuburan, Artini mengandungkan anaknya yang kelima, dan oleh kerana itu dia dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk pemerhatian walaupun tidak menunjukkan gejala Covid-19.

Namun, kira-kira seminggu kemudian, keadaan situasinya semakin buruk. Artini harus dipakaikan alat bantuan pernafasan.

“Kerana dia perlu alat bantuan pernafasan, doktor terpaksa melakukan pembedahan Cesarean kecemasan untuk menyelamatkan bayinya.

“Kerana pesakit Covid-19 perlu ditempatkan dalam posisi ‘prone’ ketika menerima rawatan. Dan untuk menyelamatkannya, mereka perlu menyelamatkan bayinya terlebih dahulu,” kata seorang rakan sekerja allahyarhamah, yang hanya mahu dikenali sebagai Yuni.

Ketika pembedahan dijalankan pada 22 Jan, Artini sedang hamil minggu ke-30. Dia melahirkan bayi perempuan.

Difahamkan, keadaan Artini sempat bertambah baik, sehingga dia tidak lagi perlu bergantung pada alat bantuan pernafasam. Dia kemudian dipindahkan ke Hospital UiTM, yang juga terletak di Sungai Buloh.

Namun, keadaan itu tidak bertahan lama. Malam tadi keadaannya semakin teruk. Setelah tanpa lelah berusaha menyelamatkannya, rakan sekerja Artini akhirnya terpaksa menerima takdir bahawa dia kembali kepada penciptanya.

Artini disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5.30 pagi.

“Dia seorang pejuang. Seorang yang kuat. Sejak dia ditahan pada 14 Januari hingga malam tadi, Artini telah berjuang untuk hidupnya.

“Tapi nampaknya setakat ini saja perjuangannya,” kata Nor’asikin Abdullah, rakan sekerja lain dan merupakan sahabat rapat Artini.

[FOTO] Anak, Ibu Mentua Shafiq Selamat Dikebumikan

Kehilangan besar bagi UiTM

Berdasarkan kisah yang disampaikan oleh rakan-rakannya, boleh diketahui bahawa Artini bukan sekadar ketua jururawat biasa.

Nor’asikin, yang mengenali Artini sejak mereka di sekolah kejururawatan sekitar 20 tahun yang lalu, mengatakan allahyarhamah sangat meminati profesionnya.

Dia telah mengambil inisiatif untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Master. Kelayakan terakhir dikhaskan dalam kejururawatan penjagaan kritikal.

Dia memang minat jadi jururawat. Sampai ambil master. Tulis buku. Tak ada lagi jururawat UiTM yang tulis buku,” kata Nor’asikin.

Penyelia kejururawatan merujuk kepada sebuah buku berjudul ‘Coronary Treatment and Care’ yang dikarang oleh Artini, yang diterbitkan tahun lalu.

Seorang jururawat lain yang memperkenalkan dirinya sebagai Ayu, yang bertugas di bawah Artini di Unit Rawatan Rapi hospital, menggambarkan Artini sebagai seseorang yang sentiasa bersedia untuk berkongsi pengetahuannya dengan orang lain.

“Semua kami di wad, kami belajar menjadi jururawat yang lebih baik di bawah bimbingannya. Dia selalu bersedia mengajar kami,” katanya.

Busra, yang juga berkhidmat di ICU, mengatakan bahawa Artini juga telah mengharumkan nama UiTM, termasuk mewakili universiti di forum antarabangsa yang mengumpulkan pakar kardiologi dari seluruh dunia.

“Dia seorang jururawat, tetapi dia dapat membuat pembentangan kepada pakar.

“Pemergiannya jelas merupakan kehilangan besar bagi UiTM,” katanya.

Bergambar di tanah perkuburuan Kristian: Ini penjelasan Mufti Wilayah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker