JAIS panggil Ibu Yati beri keterangan isu dakwaan ajaran sesat
Ibu Yati atau nama sebenarnya Wan Noorhayati Wan Alias, berkata dia bersama dua kenalannya menerima surat daripada Bahagian Penyelidikan Dan Pembagunan JAIS.
AMPANG: Pemilik akaun Facebook Ibu Yati dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk hadir ke pejabat jabatan itu esok bagi memberi penjelasan berhubung ajaran sesat yang dikaitkan dengannya.
Ditemui di rumahnya di sini, malam ini, Ibu Yati atau nama sebenarnya Wan Noorhayati Wan Alias, berkata dia bersama dua kenalannya menerima surat daripada Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan JAIS petang tadi.
Katanya, mereka bersedia untuk hadir dan memberi kerjasama sepenuhnya kerana tiada apa yang perlu disembunyikan.
“Sejak 28 Januari kenyataan oleh Yadim (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia) menerusi YDP (Yang Dipertua) Nasrudin Hassan, menyatakan saya sesat… bawa agama Islam baharu, syahadah baharu, agama Melayu, ajaran Ibu Yati dan agama Islam… saya tidak pernah dipanggil (JAIS).
“(Petang tadi) dua pegawai JAIS menghantar surat untuk menghadiri sesi penjelasan kepada tiga daripada kami,” jelasnya.
Katanya, surat daripada JAIS itu berkaitan isu yang diviralkan baru-baru ini.
Sebelum ini, Nasrudin dilaporkan menasihatkan agar orang ramai tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu yang didakwa dibawa individu dikenali sebagai Ibu Yati, yang turut didakwanya menggunakan lafaz syahadah yang pelik.
Nasrudin turut dilaporkan berkata pihaknya tidak akan mengemukakan permohonan maaf kepada Ibu Yati susulan laporan polis yang dibuat wanita itu yang memberi Nasrudin tempoh tujuh hari untuk mengemukakan permohonan maaf kepadanya atas dakwaan yang dibuat Yadim.
Mengulas lanjut, Wan Noorhayati berkata, sebelum ini tiada mana-mana pihak berkuasa yang bertanya kepada mereka mengenai isu berkaitan ajaran sesat yang dikaitkan dengannya oleh Yadim.
You must be logged in to post a comment.