Demokrasi lawan tentera di Myanmar, siapa menang, siapa tewas?


Dr Azlinariah Abdullah

1 FEBRUARI 2021 sepatutnya menandakan sesi permulaan sidang Parlimen baru bagi Myanmar selepas pilihan raya diadakan pada 8 November 2020, ketika dunia masih bergelut dengan virus membunuh Covid-19.

Tetapi, pada awal pagi yang sepatutnya sidang Parlimen itu bermula, ada berita yang sudah dijangkakan berlaku -pemimpin de facto atau Canselor Myanmar, Aung San Suu Kyi serta beberapa pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) ditangkap tentera sebelum kemudiannya diisytihar darurat pula selama setahun.

Maka, plot drama politik di negara paling bongsu dalam entiti ASEAN ini, bertukar nada. Desas-desus kemungkinan rampasan kuasa tentera berlaku, yang dimulai percikannya oleh pengumuman darurat semakin tidak dapat ditahan-tahan lagi. Walaupun dinafi Ketua Tentera Myanmar, Jeneral Ming Aung Hlaing, hal mengenai rampasan kuasa tentera segera mendominasi radar politik Myanmmar.

Bahawa penangkapan itu dan perintah darurat menjadi pembuka jalan kepada rampasan kuasa tentera sekali lagi di Myanmar – selepas hanya sedekad menikmati demokrasi kerajaan awam, makin tidak dapat dibendung.

Untuk rekod, sebelum Myanmar kembali ke pangkuan demokrasi dan menikmatinya selama 10 tahun, negara bumi emas itu 50 tahun dicengkam pemerintahan tentera atau junta. Malah, bapa Suu Kyi, ikon demokrasi, iaitu Jeneral Aung San juga seorang tentera.

Berita pada pagi 1 Februari, pada ketika Parlimen sepatutnya bersidang, sudah dijangkakan berlaku oleh banyak pihak, dan ia akhirnya berlaku. Ternyata tentera sudah kehilangan sabar dengan politik kerajaan awam pasca pilihan raya 2020. Demokrasi yang berjalan, hanya menyebabkan mereka kehilangan cengkaman kuasa dan pengaruh. Selepas memberikan kuasa sebagai Canselor kepada Suu Kyi, nampaknya rakyat melihat pemimpin itu dan NLD menjadi ubat lebih mujarab untuk merawat resah mereka selama ini berada di bawah tentera.

Parti NLD menang besar lagi pada pilihan raya 2020. Parti proksi tentera dikenali sebagai Parti Kesatuan Solidariti dan Pembangunan (USDP) hanya menang 33 kerusi. Di sebalik itu, ia masih mendominasi pemerintahan dan menguasai Parlimen. Presiden – yang sepatutnya diberikan kepada ketua parti yang menang, tidak diberikan kepada Suu Kyi atas alasan wanita “The Lady” itu mengahwini warga asing. Maka, Canselor diberikan kepada beliau – jawatan yang diwujudkan semata-mata untuk Suu Kyi, yang bertaraf Presiden.

Kocak kecil dalam politik awam-tentera di Myanmar, geloranya tidak di situ sahaja. Pilihan raya pada November 2020, jadi alasan tentera untuk meneruskan rancangannya.

“Jangan dilupakan, tentera tidak boleh hapuskan Suu Kyi begitu sahaja, itu tidak demokratik, kerana janji tentera, mereka perlu penuhi elemen demokrasi.

Suu Kyi tidak boleh dijatuhkan, kerana rakyat akan turun ke jalanan, penunjuk perasaan akan terbunuh oleh peluru tentera. Ini tentera perlu elakkan. Maka, satu alasan terbaik ialah pindaan perlembagaan kerana berlaku penipuan dalam pilihan raya,” jawab Dr Maung Zarni, ketika saya menghantar teks WhatsApp kepadanya bertanyakan perkembangan terkini di negaranya itu.
Tambah Zarni, tenaga pengajar di London School of Economic, tentera akan mencari jalan dan menggunakan pelbagai cara untuk mengesahkan kedudukannya, sekali gus merampas kuasa jika perlu.

Kenyataan itu ada asasnya. Sebelum ini sekali pun, junta tentera menamakan dirinya sebagai Majlis Perdamaian dan Pembangunan Negara (SPDC) tanpa berbincang. Hinggakan nama asal negara itu, Burma ditukar kepada Myanmar juga, tanpa persetujuan mana-mana Dewan yang mewakili rakyat. Ibu negara Rangoon ditukar kepada Yangon dan kota pentadbiran dipindah ke Nay Pyi Taw, itu juga tiada sebarang perbincangan.

“Maka tidak pelik, jika tentera sudah lama merancang untuk rampas kuasa, selepas merasakan tidak puas hati dengan NLD, demokrasi dan Suu Kyi,” kata Dr Zarni lagi.

Dalam konteks Asia Tenggara, pemerintahan tentera bukanlah perkara asing. Dua negara besar di Asia Tenggara turut mempunyai tentera memainkan peranan besar dalam politik. Mereka ialah Indonesia dan Thailand. Sementara dalam konteks Asia, kerajaan tentera yang terkenal ialah Pakistan dan Turki.

Umumnya, pemerhati politik melihat bahawa apabila tentera sudah keluar kem dan menguasai kerajaan, amat sukar untuk mengheret mereka kembali ke berek. Maklumlah, mereka memiliki senjata dan itulah asas kepada kekuasaan.

Tetapi lama-kelamaan darah rakyat adalah lebih kuat daripada peluru senjata. Kuasa senjata mesti diletakkan di bawah kerajaan awam. Pemerintahan demokrasi mempunyai tiga cabang iaitu legislatif, eksekutif dan judikatif. Tentera bukanlah satu cabangnya. Itulah yang berlaku kepada Myanmar pada 2015.

Buku “The Lady and The Generals, Aung San Suu Kyi and Burma’s struggle for freedom” tulisan Peter Popham mmenyentuh panjang lebar mengaitkan debat mengenai peranan tentera di Myanmar. Ia kata Popham, sering dibincangkan apabila bercakap mengenai politik di Indonesia, Thailand, Pakistan dan Turki, tanpa terkecuali di Myanmar.

“Pihak tentera yang ingin terus berkuasa mengemukakan pelbagai sebab mengapa mereka perlu berperanan. Antaranya adalah fungsi sebagai pelindung jati diri dan kedaulatan negara,” tulis Popham, yang juga pengarang buku “The Lady and The Peacock”.

Misalnya, pihak tentera di Turki bercakap mengenai sekularisme sebagai jati diri negara yang perlu dipertahankan oleh tentera, walaupun ditolak oleh rakyat. Pihak tentera Pakistan bercakap mengenai peranan tentera mempertahankan kedaulatan negara daripada perpecahan dan pencerobohan luar, yang memerlukan mereka aktif dalam politik. Alasan bahawa mereka mahu melindungi negara daripada ahli-ahli politik korup juga sering dikemukakan. Inilah alasan junta tentera Thailand dan Pakistan.

Mungkin timbul persoalan mengapakah ahli-ahli politik cenderung untuk terlibat dengan korupsi berbanding pihak tentera. Dalam persekitaran di negara-negara Dunia Ketiga, di mana institusi demokrasi lemah dan tidak dihormati, maka kekuasaan harus bersandarkan kepada kekuatan iaitu senjata. Maka itulah yang dimiliki oleh tentera dan bukannya ahli politik awam. Maka ahli politik ini perlukan wang sebagai senjatanya. Dalam persekitaran integriti yang lemah, korupsi merupakan kaedah mendapatkan wang untuk membeli sokongan.

Itulah yang berlaku dalam politik Indonesia. Presiden Suharto mendapat kuasa pada tahun 1965 atas kekuatan tentera dengan meminggirkan ahli-ahli politik awam. Bagi mendapatkan kesahihan, beliau mewujudkan sistem di mana parti-parti politik dikawal dengan kelihatan demokrasi berlaku tetapi hakikatnya tentera yang berkuasa.

Kemudian penekanan kerajaan Indonesia ketika itu adalah kepada ketenteraman awam dan pembangunan. Tetapi dalam proses ini, ahli-ahli politik yang mendukung sistem ini turut terjebak dalam korupsi hingga akhirnya pada tahun 1997, semuanya runtuh atas desakan gerakan reformasi.

Tetapi kejayaan Suharto kelihatan mahu dicontohi oleh junta tentera Myanmar dengan usahanya untuk menekankan kepada soal keamanan dan pembangunan. Kalau mereka dapat mendatangkan pertumbuhan ekonomi di Myanmar, maka kesahihan politik mungkin dapat diperoleh seperti yang diterima oleh Suharto. Ia juga mahu mewujudkan sistem politik yang mengawal parti-parti bagi menyokongnya.
Bagaimanapun parti yang menyokong rejim, Parti Perpaduan Nasional (NUP) hanya mendapat 10 peratus undi dalam pilihan raya tahun 1990. Begitu juga dalam pilihan raya terbaharu, parti proksi tentera iaitu USP tewas teruk di tangan NLD.

Justeru Myanmar tidak dapat mengikut jejak kejayaan Indonesia semasa pemerintahan Suharto dahulu. Suharto berjaya meminggirkan semua pihak yang menentangnya dengan penyusunan semula struktrur pilihan raya pada tahun 70-an dahulu.

Satu lagi perkara penting di mana jeneral-jeneral Myanmar itu gagal berbanding dengan Indonesia ialah berhubung dengan sokongan dari Barat. Suharto mendapat sokongan luas dan mendalam dari Amerika Syarikat (AS) dan Barat. Tetapi Barat memihak kepada Suu Kyi.

Walaupun Barat menganggap sistem politik Suharto sebagai tidak demokratik tetapi mereka melihat alternatif kepada beliau adalah komunisme, atau lebih buruk lagi fundamentalisme Islam.

Sebaliknya Suu Kyi dan NLD adalah sefahaman dengan mereka, iaitu demokrasi liberal. Maka tidak ada sebab untuk Barat menyokong junta, tidak seperti apa yang mereka berikan kepada Indonesia, Thailand, Pakistan dan Turki.

Justeru tidak hairanlah kalangan junta tentera di Yangon mengaitkan Suu Kyi dan NLD sebagai pihak yang membawa kepentingan Barat. Maka adalah lebih penting bagi tentera mempertahankan kedudukannya menjaga kepentingan nasional Myanmar.

Dalam hal ini, dapat dilihat pula betapa persaingan kuasa serantau antara Barat dan China. Ini kerana China dilihat membantu Myanmar untuk membangun dalam keadaan dipencilkan oleh Barat. Selain itu Myanmar juga menggunakan ASEAN untuk mendapatkan kesahihan. Bagi ASEAN pula, mereka lebih mempercayai pendekatan rundingan. Biarlah junta tentera dengan sukarela menyerahkan kuasa.

Ini kerana demokrasi sebagai ideologi bukan semata-mata diwujudkan untuk kepentingan rakyat tetapi ada kalanya digunakan sebagai alat oleh Barat untuk menguasai kedudukan politik dan ekonomi sesebuah negara.

Myanmar adalah negara besar dalam Asia Tenggara, mempunyai sumber asli yang masih belum diteroka dan tentunya menarik minat pelabur. Malah dalam konteks Asia Tenggara, negara yang berpotensi besar untuk bangkit ialah Myanmar dan Vietnam. Mereka boleh mengalahkan Indonesia, Thailand dan Filipina.

Buat masa ini, China mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Myanmar. Bagi China yang tidak mengamalkan demokrasi liberal, apa yang penting ialah kestabilan bagi mewujudkan pembangunan ekonomi. Fahaman yang sama berlaku di Vietnam. Maka ia dilihat sesuai untuk Myanmar.

Tanpa demokrasi liberal, negara tidak mudah dibolos oleh pihak asing yang akan masuk melalui parti-parti politik, dengan pemimpinnya terdedah kepada rasuah. Begitulah hujah aliran pandangan sedemikian.

Tetapi terdapat perbezaan antara China dan Vietnam berbanding Myanmar. Walaupun ketiga-tiganya tidak mengamalkan demokrasi liberal tetapi China dan Vietnam diperintah oleh ahli-ahli politik awam, walaupun dari kalangan parti komunis. Sedangkan kerajaan Myanmar adalah junta tentera yang ditolak dalam pilihan raya dan juga di jalan raya.

Rakyat tidak percaya bahawa Suu Kyi, anak pejuang kemerdekaan adalah pengkhianat negara. Mereka mahu Myanmar yang demokratik, moden, maju dan membangun. Malah sami-sami Buddha mereka juga. Oleh kerana itu, mereka memilih Suu Kyi dalam pilihan raya. Mereka menukar dakwat di jari mereka kepada menaikkan wanita itu ke puncak kuasa.

Maka kalau Megawati Sukarnoputri ditampilkan oleh rakyat Indonesia bagi menentang Suharto dan tentera-tenteranya, maka begitu juga dengan Suu Kyi. Dalam keadaan sebegini, jika China dan ASEAN dengan tegas turut menyebelahi Suu Kyi, junta tentera Myanmar akan terpencil. Itulah juga yang berlaku pada 2015 apabila Myanmar dipulangkan ke pangkuan demokrasi.

Dunia umumnya menyeru supaya tentera Myanmar menahan diri daripada melakukan kekerasan dan rampasan kuasa, termasuk ura-ura yang terbaharu ini. Mereka tidak mahu pembunuhan ramai pada 1988 berulang. Tetapi siapakah yang boleh menjamin kejadian itu tidak berulang? Dalam hal ini, ASEAN yang selama ini berusaha mencari penyelesaian tentu kecewa sementara tanggungjawab selanjutnya terletak di bahu Beijing yang masih menggesa tidak mencampuri urusan lain.

Akhirnya dunia akan memerhati AS di bawah kepimpinan baharu, Joe Biden untuk melakukan sesuatu. Kalau Washington boleh melakukan perubahan rejim di Afghanistan dan Iraq, patutkah ia turut campur tangan dalam politik Myanmar jika rampasan kuasa benar-benar berlaku?
Bagaimanapun, bagi rakyat Myanmar lebih-lebih lagi penyokong NLD yang memberi mandat kerajaan awam, mereka tidak lagi dapat menerima pemerintahan tentera.
Mereka mahu menjadi negara normal, diperintah oleh ahli-ahli politik awam melalui Parlimen di mana ekonomi dibuka untuk semua lapisan rakyat.

Zaman kerajaan tentera dan pemerintahan autokratik sudah berlalu. Rakyat Myanmar pasti mahu negara mereka turut aktif dalam ASEAN dan masyarakat antarabangsa.
Myanmar mencapai kemerdekaan pada 1948 setelah menjadi tanah jajahan Britain yang meletakkannya sebagai wilayah dalam India. Tetapi sejak 1962, ia diperintah tentera dengan nama Kesatuan Sosialis Burma di mana sektor ekonomi mereka ditutup.

Ketika rejim-rejim komunis tumbang dan kedudukan Myanmar sebagai negara penampan kepada dua kuasa bertelagah sudah berubah, maka sewajarnya ia muncul sebagai negara demokratik dan berdaya maju bermula ketika rakyatnya memilih NLD sebagai parti pemerintahnya.
Tetapi pihak tentera menghalang proses ini. Jadi, adakah proses rakyat (baca demokrasi) melawan tentera akan kembali semula di Myanmar? Kalau itu benar-benar berlaku, tentera jadi penghalang kehendak rakyat untuk maju dan lebih progresif. Awani

* Azlinariah Abdullah ialah pengkaji Pengajian Antropologi dan Budaya di Institut Asia- Eropah (AEI), Universiti Malaya dan penulis buku Pengembara Tanpa Pasport

SINGKIRKAN MYANMAR DARI ASEAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker