SINGKIRKAN MYANMAR DARI ASEAN

Share

Oleh Ab Jalil Backer

Tindakan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) menghalau bot yang membawa 200 orang pelarian Rohingya keluar dari perairan negara minggu lalu adalah satu tragedi kemanusian yang tidak dapat dielakkan.

Namun negara ini tiada pilihan berbanding para pelarian yang dihalau. Pelarian ini memilih untuk membayar ‘lanun’ pemerdagangan manusia untuk datang ke negara ini kerana melihat peluang mereka mendapat kehidupan lebih baik.

Mereka mempunyai kem pelarian yang dijamin keselamatan, tempat tinggal dan makanan di sempadan Myanmar-Bangladesh.

Namun mereka memilih untuk datang sejauh ribuan kilometer bagi merebut kek ekonomi negara ini.

Jadi mereka bukan lagi pelarian kemanusiaan dari kekejaman Junta Myanmar, tetapi lebih kepada pendatang tanpa izin yang mahu mencari peluang ekonomi di negara ini.

Malaysia sedang diancam pandemik Covid-19 tidak lagi mampu menampung kehadiran pelarian ekonomi ini. Thailand mengambil langkah serupa menolak pendaratan kumpulan pelarian Rohingya.
Kita simpati kepada nasib mereka, namun kerajaan juga perlu bersimpati dengan rakyat negara ini.

Strategi baharu ke atas isu Rohingya

Masalah pelarian di negara ini telah memasuki tahap membimbangkan.

Pada akhir Februari 2020, terdapat 178,990 pelarian yang berada di negara ini dan berdaftar dengan UNHCR bagi mendapatkan perlindungan dan penempatan ke negara lain.

Daripada jumlah tersebut, 154,080 adalah dari Myanmar yang merangkumi 101,010 Rohingya, 22,810 etnik Chin, and 30,250 lain-lain etnik. Dengan kata lain, sebahagian besar masalah pelarian di negara ini berpunca daripada Myanmar.

154, 080 orang pelarian Myanmar ini dilindungi oleh UNCHR Malaysia dan mendapat wang sara diri.

Namun ramai antara mereka telah bekerja secara haram, menjadi peminta sedekah dan mempunyai anak-anak yang tidak bersekolah. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kita boleh melihat begitu ramai peminta sedekah yang terdiri daripada pelarian Rohingya.

Kewujudan jumlah pelarian Rohingya yang terlalu besar telah memberi kesan negatif kepada keadaan negara ini.

Mereka mewujudkan budaya sendiri, puak tersendiri dan cara hidup tersendiri yang tidak seiring dengan budaya penduduk tempatan. Dalam jangka masa panjang ini akan memberi pelbagai kesan negatif kepada ekonomi dan sosial negara ini.

Pada hemat saya sudah tiba masanya Malaysia mempunyai perancangan jelas dan tegas untuk menguruskan keadaan ini.

Pertama, Malaysia perlu mendesak ASEAN menggugurkan keanggotaan Myanmar selagi mereka tidak melakukan reformasi politik yang mengharmonikan negara tersebut.

Dasar Berkecuali ASEAN tidak relevan dalam isu Myanmar kerana ia bukan soal definisi hak asasi atau kebebasan bersuara. Kita berhadapan rejim kejam yang melakukan pembersihan etnik.

Masalah pelarian ini tidak akan selesai selagi kita berlembut dengan Myanmar dan mereka mengambil kesempatan menghalau penduduk yang mereka tidak suka.

Kedua, Malaysia perlu mempunyai dasar baharu yang meletakkan semua pelarian ini pada tempat-tempat terpencil dan terkawal di luar Lembah Klang dan bandar besar.

Malaysia sepatutnya hanya menjadi tempat persinggahan sementara sebelum UNCHR menguruskan mereka mendapat suaka di negara lain.

Namun apa yang berlaku sekarang ialah pelarian sedia ada tidak lagi berminat berpindah ke negara ketiga kerana mereka telah selesa dan mempunyai peluang membina kekayaan di negara ini.
UNCHR juga selesa membiarkan perkara ini berlaku kerana ini lebih mudah kepada mereka.

Justeru meletak mereka di pulau atau kawasan terkawal sementara menunggu penempatan ke negara lain akan menjadi faktor mendorong pelarian sedia ada memohon perpindahan ke negara lain.

Ini juga akan menjadikan Malaysia bukan lagi destinasi menarik untuk pelarian Rohingya. Saya tidak fikir pelarian Rohingya atau mana-mana negara akan berhabis wang dan menggadai nyawa untuk datang jika pada keadaan mereka akan berakhir di kem pelarian yang terpencil dan tidak mempunyai peluang ekonomi.

Terserah kepada kerajaan untuk bertindak berani dan wajar, atau membiarkan polemik ini berterusan tanpa kesudahan sehinggalah berlaku tragedi yang tidak diingini.

Leave a Reply