Pendedahan Tommy: Agong Mahu Azizah Jadi PM Interim, Rasa Terancam Mahathir Calonkan Dirinya

 

PETALING JAYA: Bekas peguam negara Tommy Thomas menyifatkan tindakan Dr Mahathir Mohamad sebagai “pelik” apabila meletak jawatan perdana menteri, tetapi kemudian mahu dilantik memegang jawatan itu secara sementara.

Thomas berkata, selepas Mahathir melepaskan jawatan itu Feb lalu, peruntukan perlembagaan membolehkan timbalan beliau ketika itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai pemangku perdana menteri.

Ini bagi membolehkan kerajaan Pakatan Harapan (ketika itu) menamakan calon baharu untuk menerajui kerajaan.

Thomas berkata, Agong bertindak mengikut perlembagaan dan mahu melantik Wan Azizah sebagai pemangku perdana menteri atau perdana menteri interim.

“(Namun) Mahathir mencalonkan diri,” untuk jawatan sementara itu, walaupun sudah berundur sebagai perdana menteri, kata Thomas.

Beliau berkata, tindakan Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri dan kemudian mencalonkan diri untuk terus memegang jawatan itu secara sementara “berkemungkinan tidak pernah diambil oleh sesiapa dalam sejarah moden politik.”

Thomas menulis demikian dalam bukunya berjudul “My Story: Justice in the Wilderness” yang mula dipasarkan hari ini.

Beliau berkata, selepas dilantik sebagai perdana menteri interim, Mahathir bertindak memecat keseluruhan jemaah menteri lantikan Pakatan Harapan.

Thomas menyifatkan siri tindakan Mahathir itu sebagai pelik dan tidak boleh dipertahankan.

Thomas turut mendedahkan sehari selepas meletak jawatan dan berstatus perdana menteri sementara, Mahathir memaklumkannya bahawa beliau mempunyai sokongan semua 222 Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

Namun, rancangan itu tidak menjadi apabila Muhyiddin Yassin dilantik perdana menteri selepas menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan kerjasama PAS, Umno dan beberapa parti di Sabah dan Sarawak.

Dalam buku itu, Thomas berkata beberapa tindakan “aneh” Mahathir menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan yang memperoleh mandat rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Thomas berkata, kerelaan Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri Feb lalu “tidak boleh dijelaskan” kerana beliau cukup arif mengenai kuasa-kuasa luas yang ada padanya selaku perdana menteri.

“Kalau ada seorang ahli politik dalam sejarah moden yang cukup arif mengenai kuasa yang dipegang oleh penyandang (jawatan PM), beliau adalah Tun Dr Mahathir.

“Malah Tun sering digambarkan oleh pembangkang, media tertentu dan pengkritiknya sebagai diktator. Beliau memperoleh kuasa daripada kedudukannya sebagai perdana menteri,” kata Thomas dalam buku itu.

Apa pun, Thomas berkata peletakan jawatan oleh Mahathir sebagai perdana menteri pada 24 Feb “tidak dapat dipertahankan” kerana ia “mengakibatkan kejatuhan kerajaan PH, yang mengecewakan majoriti pengundi PRU14.”

Dalam buku itu, Thomas berkata Umno dan PAS setuju bekerjasama dengan Mahathir menubuhkan kerajaan perpaduan dengan syarat beliau (Thomas) meletak jawatan sebagai peguam negara dan Lim Guan Eng digantikan sebagai menteri kewangan.

Thomas berkata, Mahathir memaklumkan bahawa PAS dan Umno menganggap beliau rasis kerana tidak mahu mendakwa kumpulan suspek yang ditahan atas tuduhan menyokong kumpulan pemberontak Sri Lanka, LTTE.

Beberapa daripada mereka yang ditahan polis ketika itu adalah pemimpin DAP.

Berdasarkan permintaan Umno dan PAS itu, Mahathir meminta Thomas meletak jawatan dan beliau berbuat demikian pada 28 Feb lalu.

Leave a Reply